Apple mahu guna rekaan kamera baharu untuk iPhone 16

Digital
9 Feb 2024 • 3:50 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Selepas pengenalan siri iPhone 15 pada tahun lepas, sedikit demi sedikit spekulasi berkenaan iPhone 16 mula timbul dalam talian. Untuk model biasa iPhone 16 yang bakal dilancarkan pada tahun ini, ia dikatakan akan menggunakan rekaan modul kamera baharu.

Berdasarkan apa yang dilaporkan, iPhone 16 akan menampilkan susunan kamera menegak dengan ruang kamera yang berbentuk pil. Ini bukan pertama kali Apple menggunakan rekaan sebegini, kerana ia dilihat seakan sama seperti model iPhone X terdahulu.

Malah, susunan kamera ini juga sama seperti iPhone 11 ataupun iPhone 12, tetapi dengan ruang kamera berbentuk pil berbanding segi empat sama. Bagaimanapun, kelihatan ruang kamera berbentuk pil di gambaran iPhone 16 masih dimuatkan dua modul kamera serupa iaitu kamera utama dan ultralebar.

Selain itu, meyakinkan ia adalah rekaan sebenar, sumber turut memaklumkan susunan kamera menegak ini kekal konsisten sepanjang proses prototaip. Ia juga selari dengan skematik yang dikongsikan oleh leaker terkenal, Majin Bu di laman X miliknya.

Dengan penggunaan susunan kamera menegak ini, Apple dijangka akan membawa ciri yang khusus terdapat pada siri iPhone 15 pro iaitu rakaman Spatial Video untuk iPhone 16 biasa akan datang. Ini kerana, model iPhone 15 tidak dapat menerapkan ciri ini disebabkan susunan diagonal kameranya.

Tambahan pula, khabar angin juga mengatakan prototaip iPhone 16 akan didatangkan dengan butang Action yang sama digunakan di iPhone 15 Pro bagi menggantikan butang Slider, bersama-sama dengan butang kapasitif baharu yang dinamakan Capture Button.

Bagaimanapun, apa yang dilaporkan ini sudah tentu masih dalam fasa awal dan belum disahkan. Ia juga mungkin tidak akan menggambarkan rekaan akhir yang dipakai untuk iPhone 16 nanti. Pelancarannya juga masih jauh pada September nanti, jadi nantikan maklumat yang bakal menyusul nanti.

[Sumber: Macrumors]