Aprilia fokus enjin 2026

28 Nov 2025 • 11:59 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Aprilia sedang berdiri di ambang era baharu MotoGP dan kali ini langkah mereka tampak lebih berani berbanding sebelumnya. Menurut pengarah teknikal, Fabiano Sterlacchini, fokus pasukan dari Noale kini beralih daripada menggilap RS-GP 1000cc kepada membina sepenuhnya jentera 850cc generasi pertama yang akan membuka tirai regulasi 2027.

Dengan ‘engine freeze’ yang berkuat kuasa untuk semua pengeluar selain ‘concession’ D, memberi ruang kepada Aprilia untuk berfikir jauh ke hadapan, tanpa perlu risau pesaing terus memecut dalam pembangunan enjin 1000cc.

Perubahan peraturan nanti bukan kecil iaitu dengan enjin lebih kecil, sistem ride-height dan holeshot dimansuhkan, aero diperketat serta tayar bertukar daripada Michelin ke Pirelli. Semua ini memaksa setiap pasukan menulis semula buku permainan. Untuk Aprilia, enjin 850cc mereka sedang dalam proses pembangunan kerana proses pembuatannya panjang dan kompleks.

Sterlacchini menjelaskan bahawa sepanjang tiga hingga empat bulan pertama 2026, bahagian teknikal akan dipecahkan kepada dua, dengan satu kumpulan menyiapkan RS-GP 2026 hingga April, satu lagi terus menumpukan pembangunan jentera 2027.

Tambahan pula, perjanjian tidak rasmi antara pengeluar untuk menangguhkan ujian enjin 850cc berakhir pada 17 November. KTM menjadi yang pertama mendedahkan enjin baharu mereka, tetapi Aprilia seperti biasa memilih pendekatan senyap, bekerja dengan teliti tanpa berita sensasi.

Di trek, Aprilia menutup musim ini dengan kejayaan apabila mencapai tiga kemenangan dalam empat perlumbaan akhir dan tempat kedua dalam kategori pengeluar. Marco Bezzecchi pula mencatat sejarah untuk RS-GP dengan menamatkan musim di tangga ketiga kejuaraan dunia. Dengan momentum sebegini, jelas Aprilia bukan sekadar menyertai era 850cc, mereka mahu menguasai kejuaraan.

Teruskan bersama Two Wheels..!

📷 MotoGP

The post Aprilia fokus enjin 2026 appeared first on TW Media.

View Original Article