
Perpindahan Francesco Bagnaia ke Aprilia bagi musim 2027 terus mencuri perhatian dunia MotoGP. Lebih menarik, pengumuman itu turut disusuli kenyataan berani daripada Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing, Massimo Rivola.
Mengulas gandingan baharu Pecco bersama Marco Bezzecchi, Rivola secara berseloroh berkata beliau lebih gemar bekerja dengan ‘pelumba bintang, baka tulen’ berbanding ‘keldai’. Walaupun kedengaran pedas, kenyataan itu jelas menggambarkan keyakinannya terhadap kemampuan dua pelumba Itali tersebut untuk membawa Aprilia ke tahap lebih tinggi.
Menurut Rivola, keputusan Pecco meninggalkan Ducati membuktikan keyakinannya terhadap projek Aprilia. Beliau turut melihat perkembangan pesat Bezzecchi bersama pasukan dari Noale itu sebagai salah satu faktor yang meyakinkan juara dunia berganda tersebut untuk menyertai mereka.
Rivola juga percaya Pecco mempunyai motivasi tersendiri untuk membuktikan kemampuannya selepas Ducati memilih haluan berbeza dalam pembentukan pasukan masa depan mereka.
Dengan Bezzecchi yang semakin matang dan Pecco yang masih berada di kemuncak prestasi, Aprilia kini memiliki dua pelumba bertaraf juara dalam satu garaj. Persaingan sesama rakan sepasukan mungkin tidak dapat dielakkan, namun bagi Rivola, mengurus dua pelumba ‘baka tulen’ adalah cabaran yang lebih baik daripada memiliki pasukan yang harmoni tetapi kurang kompetitif.
Jika pembangunan RS-GP 2027 berjalan seperti dirancang, gandingan Pecco dan Bezzecchi berpotensi menjadi senjata utama Aprilia untuk mencabar dominasi Ducati dalam perebutan kejuaraan dunia.
The post Aprilia perli Martin? appeared first on TW Media.


