Arahan baharu Kementerian Kerja Raya: Sifar projek sakit, siap lebih awal

LocalPolitics
18 Mar 2025 • 2:45 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Nora Ahmad

PUTATAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengeluarkan dua arahan baharu bagi memastikan setiap projek pembinaan disiapkan mengikut jadual tanpa kelewatan, dengan menekankan konsep sifar projek sakit dan siap lebih awal (ahead of time – AOT) berbanding lanjutan masa (extension of time – EOT).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, arahan itu telah dipersetujui di peringkat pengurusan tertinggi KKR dan akan dikuatkuasakan dalam semua projek di bawah kementerian itu.

“Kita kini ada dua arahan baharu, iaitu sifar projek sakit dan memastikan projek siap lebih awal, bukan lanjutan masa.

“Selepas ini, kita akan turun padang untuk memantau setiap projek bagi memastikan pematuhan kepada arahan ini.

“Kita mahu sebanyak mungkin projek disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan. AOT, bukan EOT – itulah ‘tagline’ baharu kita,” katanya selepas melawat tapak pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Lok Kawi, pada Isnin.

Sementara itu, mengulas mengenai status projek sakit, Ahmad memaklumkan hanya 29 daripada 801 projek di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) dikategorikan sebagai projek sakit, iaitu bersamaan 3.62 peratus.

“Daripada jumlah itu, 76 peratus berpunca daripada masalah kontraktor, manakala selebihnya disebabkan faktor seperti kekurangan bahan binaan dan perubahan reka bentuk. Namun, ini juga bermakna 96 peratus projek JKR adalah dalam keadaan baik,” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mencatatkan jumlah tertinggi dengan enam projek sakit, diikuti KKR sendiri (lima projek), sementara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masing-masing empat projek.

“Selain itu, Kementerian Pertahanan mencatatkan tiga projek sakit, manakala Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masing-masing mencatatkan dua projek.

“Satu projek sakit direkodkan di bawah Jabatan Kehakiman Syariah, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC),” katanya.

Ahmad menegaskan bahawa pemantauan lebih ketat akan dilakukan bagi memastikan projek yang sedang berjalan tidak tergolong dalam kategori projek sakit dan dapat diselesaikan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Sementara itu, projek pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Lok Kawi dijangka siap menjelang hujung tahun ini menerusi langkah tambahan yang diambil bagi mempercepatkan proses pembinaan.

Ahmad berkata kelewatan yang berlaku sebelum ini akan diatasi dengan dua pendekatan utama yang telah dicadangkan kepada pihak kontraktor.

“Kontraktor akan menambah bilangan pekerja dan saya mencadangkan supaya mereka mengutamakan pengambilan pekerja tempatan.

“Selain itu, kerja pembinaan akan dilanjutkan sehingga tengah malam, dan kita juga sedang berusaha untuk melaksanakan syif dari jam 12 tengah malam hingga 7 pagi,” katanya.

Projek ini melibatkan pembinaan 513 unit kediaman pelbagai kelas untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan seluas kira-kira 257 hektar.

Menurut Ahmad lagi, bagi memastikan projek itu siap dalam tempoh yang ditetapkan, langkah tambahan ini akan bermula dua hari selepas sambutan Hari Raya pada awal bulan depan.

“Sepatutnya projek ini siap Ogos ini, tetapi kita berikan lanjutan sehingga hujung tahun, paling lewat November atau Disember.

“Oleh itu, kita hanya beri cuti dua hari selepas Hari Raya sebelum kerja-kerja pembinaan disambung semula,” tambahnya.