
KUALA LUMPUR - Masalah projek sakit bukan baharu, malah ia sudah lama ‘bertapak’ di negara ini.
Bukan sekadar ‘menyakitkan’ mata memandang, projek sakit turut memberi kesan langsung kepada struktur ekonomi negara, yang pastinya mendatangkan kerugian dalam jumlah besar.
Meski bilangannya masih dianggap kecil, impak negatif yang dibawa bukan mainan serta berpotensi menjadi api dalam sekam, membakar secara halus dan diam.

Jabatan Perumahan Negara mendefinisikan projek sakit sebagai projek yang mengalami kelewatan melebihi 30 peratus, berbanding kemajuan yang sepatutnya.
Projek berkenaan juga didefinisikan sebagai projek sakit jika ia masih gagal disiapkan selepas tamat tempoh Perjanjian Jual Beli (PJB).
Azam Kementerian
Menyedari hakikat bahawa projek sakit tidak boleh dibiarkan, Kementerian Kerja Raya mengambil langkah proaktif dan agresif demi memastikan masalah ini dapat dibasmi sepenuhnya.
Dalam hal ini, ketegasan menteri berkenaan, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi wajar diberi pujian apabila pantas menyusun strategi dan mengambil langkah untuk memastikan semua projek berkenaan dapat dipulihkan statusnya.

Beliau ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 dengan tegas memberi amaran, mahu melihat penurunan bilangan projek sakit ke angka sifar.
Tegas Nanta, nisbah purata projek sakit yang kecil tidak bermakna ia boleh dipandang ringan.
“Tidak bermakna kita boleh berpuas hati atau merasa bangga.
“Dalam kita meraikan kejayaan projek siap, projek sakit juga perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Beliau memberi jaminan, kementerian akan terus memainkan peranan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek.
“Saya ingin ingatkan di sini bahawa saya juga sentiasa memerhati dan turut menerima rungutan serta aduan daripada pelbagai pihak termasuk kontraktor berhubung pelbagai ketirisan di pihak kementerian dan agensi.
“Justeru, pesanan saya ialah ‘We are here to facilitate not to strangulate’. Kita harus menjadi pemudah cara yang berkesan’,” tegasnya.
Sekadar info, statistik kementerian merekodkan bahawa hanya 2.8 peratus projek kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara mengalami kelewatan ketika ini.
Sebanyak 97.2 peratus lagi projek pula berjaya disiapkan dengan cemerlang mengikut jadual.
Faktor Penyebab
Bulan lalu, jurucakap kementerian dipetik sebagai berkata, 29 daripada 801 projek fizikal yang sedang dibina dan diselia JKR jatuh di bawah kategori projek sakit.
Menyenaraikan tiga faktor sebagai punca, jurucakap berkenaan berkata, pihaknya telah mengenal pasti keupayaan kontraktor sebagai antara penyebab kepada masalah tersebut.
“Faktor keupayaan kontraktor ini menjadi penyumbang terbesar iaitu 77 peratus, diikuti faktor pelbagai sebanyak 20 peratus manakala tiga peratus lagi disumbangkan oleh faktor di pihak pelanggan,” katanya.
Jurucakap itu memberitahu, kelemahan pengurusan dalaman, masalah aliran kewangan dan kelewatan pembekalan bahan Sistem Binaan Berindustri (IBS) adalah punca kelewatan berlaku bagi pihak kontraktor.

Faktor pelbagai pula tambahnya, mencakupi kelemahan pemantauan dan kerjasama antara Pegawai Penguasa Projek dan kontraktor.
Katanya, ia turut melibatkan isu teknikal, isu pengambilan balik tanah, masalah geologi tapak bina, cuaca serta bencana alam.
"Bagi pelanggan pula seperti penambahan dan perubahan skop atas kehendak pelanggan," jelas jurucakap itu, seperti dilaporkan Bernama.
Usaha KKR Dan JKR
Serentak dengan usaha agresif kementerian menyelesaikan semua projek sakit, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 28 Februari lalu telah mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Sakit dan Lewat Jadual Kementerian Pelanggan Bilangan 1 Tahun 2025.
Ia selaras dengan hala tuju KKR 2025 mensifarkan projek sakit dan memastikan kelancaran pengurusan projek infrastruktur rakyat tanpa lanjutan masa (EOT).
Terdahulu, Ahmad Maslan pada Januari dipetik sebagai berkata, KKR menyasarkan untuk menyelesaikan semua 16 projek sakit di bawah seliaan JKR di seluruh negara tahun ini.
Katanya, projek sakit tersebut dikenal pasti pada tahun lalu daripada keseluruhan projek yang diselia JKR.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap kementerian memberitahu, KKR dan JKR akan terus menambah baik mekanisme dan kaedah perancangan, yang turut meliputi pelaksanaan dan pemantauan projek.
“Kementerian juga sedaya upaya akan mengaplikasikan inovasi dan digitalisasi teknologi dalam memantau serta mengatasi halangan yang timbul di tapak binaan.
“Bagi pihak JKR pula, jabatan akan menerapkan mekanisme amaran dan peringatan awal agar projek bermasalah dapat dikenal pasti secepat mungkin sebelum ia menjadi projek sakit,” katanya.
Persefahaman Semua Pihak
Tambah beliau, jabatan juga komited untuk menekankan persefahaman antara Pegawai Penguasa Projek, JKR, perunding, kontraktor dan agensi kerajaan terlibat dalam memastikan kejayaan projek pembinaan dan penyenggaraan.
"Sistem penyampaian kementerian dan kualiti kesejahteraan rakyat MADANI dapat ditingkatkan melalui pengurusan yang cekap dalam aspek perancangan dan pengurusan projek.
“Ia juga memerlukan pemantauan kualiti kerja, pengurusan masa dan kos, kepekaan terhadap keselamatan di tapak pembinaan demi memastikan pembinaan dilaksanakan dengan baik dalam tempoh kontrak ditetapkan,”katanya.
Seiring dengan usaha memacu negara ke arah tahap lebih baik seperti yang sering ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pastinya isu projek sakit tidak boleh dibiarkan berlarutan.
Apapun, ia menuntut kerjasama tuntas dan telus semua pihak, tanpa ada ’tangan ghaib’ yang berpotensi menggunting dalam lipatan.
Jika kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat terus menjadi keutamaan, impian Perdana Menteri untuk negara ini muncul antara gergasi dunia bukan lagi satu angan-angan. - Getaran, 14 Mac 2025

