KOTA BHARU - Arahan menutup semua operasi premis kompleks membeli-belah dan pasar raya di bandar ini sehingga jam 1 tengah hari pada 1 Syawal dan hari pertama Aidiladha sebagaimana yang tular ketika ini adalah tidak benar.
Perkara tersebut disahkan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah ketika dihubungi pada Isnin.
"Apa yang sedang tular itu tidak benar. Lagipun tarikh dan tahun tidak dinyatakan secara jelas dalam surat berkenaan," katanya.
Menurut beliau, perkara itu hanya akan diputuskan selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri yang dijadualkan berlangsung pada Rabu ini.
Ujarnya, setakat ini cadangan dasarnya ialah menutup operasi pada hari pertama perayaan.
Sebelum itu, tular satu notis yang didakwa berkaitan arahan penutupan premis kompleks membeli-belah dan pasar raya sempena Aidilfitri dan Aidiladha di media sosial pada Isnin.
Ia sekali gus mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial.
Notis itu memaklumkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menetapkan semua pengusaha premis kompleks membeli-belah dan pasar raya menutup operasi sehingga jam 1 tengah hari pada hari pertama kedua-dua perayaan tersebut.
Aktiviti perniagaan hanya dibenarkan beroperasi semula selepas jam 1 tengah hari bagi memberi peluang kepada pekerja menunaikan solat sunat Hari Raya.
Sinar Harian pada 26 Februari lalu melaporkan kerajaan Kelantan akan mengkaji semula operasi pasar raya pada hari pertama Aidilfitri susulan rungutan pekerja sektor berkenaan yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Menurut Hilmi, hal ini kerana golongan itu terpaksa bekerja pada hari raya pertama, sedangkan sebelum ini kebanyakan premis perniagaan di Kelantan ditutup sepenuhnya pada hari tersebut.
Ujar beliau, sebelum ini pekerja sektor itu berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga berikutan amalan penutupan kedai secara menyeluruh di negeri ini. Namun, bermula tahun lalu, sebahagian pasar raya besar mula beroperasi pada hari raya pertama.


