
Kuih Raya Nostalgia, Ini Resipi Biskut Sarang Semut
Setiap kali musim Hari Raya tiba, pasti ada beberapa jenis kuih tradisional yang tidak pernah ketinggalan di atas meja hidangan.
Antara yang sering menjadi pilihan sejak dahulu lagi ialah biskut sarang semut.
Kuih ini sememangnya sudah lama dikenali dan sering dihidangkan kepada tetamu yang datang berkunjung ketika beraya.
Malah, jika berkunjung dari satu rumah ke satu rumah, tidak mustahil kita akan menemui biskut ini di kebanyakan rumah.
Walaupun terdapat pelbagai kuih moden yang semakin popular, biskut sarang semut tetap mempunyai tempat tersendiri kerana rasanya yang rangup serta teksturnya yang unik.
Hari ini, SK ingin kongsikan resipi biskut sarang semut yang mudah dicuba.
Untuk makluman pembaca, resipi ini diambil daripada pengguna @chenom_tiktok di TikTok.
Bahan-bahan biskut sarang semut
Bahan-bahan yang diperlukan ialah 250 gram mentega masin, 170 gram gula kastor, sebiji kuning telur dan satu sudu kecil esen vanila.
Selain itu, sediakan juga dua hingga tiga titik pewarna kuning bagi memberikan warna yang lebih menarik pada adunan.

Untuk bahan kering pula, gunakan satu setengah cawan tepung kastard, satu cawan tepung jagung serta satu setengah cawan tepung gandum.
Sebagai pelengkap, sediakan juga chocolate rice yang akan digunakan sebagai topping.
Cara-cara menyediakan biskut sarang semut
Mula-mula, masukkan 250 gram mentega salted ke dalam sebuah mangkuk besar.
Kemudian tambahkan 170 gram gula kastor dan kacau sehingga kedua-dua bahan tersebut sebati dan teksturnya menjadi lembut.
Selepas itu, masukkan sebiji kuning telur bersama dua hingga tiga titik pewarna kuning, kemudian gaulkan sehingga adunan bercampur rata.
Tambahkan juga satu sudu kecil esen vanila bagi membantu mengurangkan bau hanyir telur, lalu kacau sekali lagi sehingga sebati.

Seterusnya, masukkan satu setengah cawan tepung kastard ke dalam adunan dan gaulkan dengan baik.
Kemudian tambahkan pula satu cawan tepung jagung dan teruskan menggaul sehingga sebati.
Selepas itu, masukkan satu setengah cawan tepung gandum dan gaulkan sehingga adunan membentuk doh yang lembut.
Tutup doh tersebut dan biarkan ia berehat selama kira-kira 10 hingga 15 minit.
Apabila doh telah direhatkan, parut doh menggunakan pemarut dengan cara menariknya dari atas ke bawah dalam satu arah.
Hasilnya, doh yang diparut akan kelihatan halus dan memanjang. Kemudian susun doh yang telah diparut itu ke dalam acuan yang sesuai.
Taburkan coklat urai atau chocolate rice di bahagian atas sebagai hiasan.
Akhir sekali, bakar biskut di dalam ketuhar pada suhu 160 darjah Celsius selama kira-kira 15 hingga 20 minit.
Baca juga:

