ARC Helmet Lancar XRS Star Wars Edition, Tampil Dengan Piawaian ECE 22.06

7 Jun 2026 • 12:10 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: ARC Helmet Lancar XRS Star Wars Edition, Tampil Dengan Piawaian ECE 22.06

Jenama topi keledar tempatan, ARC Helmet, terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri motosikal Malaysia menerusi pelancaran siri baharu ARC XRS Star Wars Special Edition sempena Malaysia Bike Show 2026.

Koleksi baharu ini bukan sekadar tampil dengan grafik menarik berinspirasikan watak ikonik Star Wars seperti Darth Vader, The Mandalorian, BB-8 dan Stormtrooper, malah menjadi model pertama ARC Helmet yang dibangunkan mengikut piawaian keselamatan ECE 22.06, satu langkah penting dalam usaha jenama itu memperluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

Dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan ARC Helmet di Malaysia, XRS direka untuk memenuhi keperluan penunggang tempatan dengan menawarkan gabungan keselesaan, fungsi dan gaya moden. Antara ciri yang ditawarkan termasuk saiz cangkerang lebih besar, visor gelap terbina dalam, sistem pelepasan visor pantas, sokongan Pinlock 70, lapisan dalaman boleh dicuci serta reka bentuk mesra pengguna cermin mata.

Menurut ARC Helmet, aspek pengudaraan dan aerodinamik turut diberikan perhatian khusus berdasarkan maklum balas komuniti penunggang, selari dengan komitmen jenama yang telah bertapak lebih 50 tahun dalam memahami keperluan pengguna motosikal di Malaysia.

Selain versi dewasa, ARC Helmet turut memperkenalkan rangkaian Youth Edition yang menampilkan karakter popular seperti Grogu, BB-8, Stormtrooper dan Darth Vader.

ARC XRS Star Wars Special Edition akan mula dijual di pengedar sah seluruh negara bermula 4 Julai 2026 pada harga RM370, manakala versi Youth ditawarkan pada harga RM135.

Dengan gabungan elemen budaya pop, teknologi keselamatan terkini dan fokus terhadap keperluan penunggang harian, ARC Helmet membuktikan bahawa jenama tempatan juga mampu menghasilkan produk yang setanding dengan pemain antarabangsa.

The post ARC Helmet Lancar XRS Star Wars Edition, Tampil Dengan Piawaian ECE 22.06 appeared first on TW Media.

View Original Article