
BILA cinta dan doa bersatu, setiap langkah terasa lebih bermakna. Itulah yang terserlah daripada perkongsian pelakon dan usahawan, Nadzmi Adhwa, kepada isteri tercinta, Ardell Aryana, yang baru-baru ini menyertai misi kemanusiaan, Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Titipan kata semangat dan doa daripada Nadzmi kepada Ardell menarik perhatian ramai netizen, sekali gus menonjolkan sisi kasih sayang dan kekuatan sebuah perkahwinan yang sederhana tetapi sarat makna.
Dalam satu hantaran di Instagram, Nadzmi mengakui reda dengan pemergian isterinya dan mendoakan agar segala urusan wanita itu dipermudahkan.
"Saya dan anak-anak dan keluarga kita semua tunggu awak balik ya. Semoga kali ini awak dapat jejakkan kaki di bumi G4z4 kali ini. Luruskan niat awak.
"Kami sentiasa mendoakan awak. Semoga ALLAH reda dengan usaha awak membantu ummah dan semoga ALLAH permudahkan awak dan semua yang terlibat.

'Goodluck isteri, teman gaduh, bestfriend and soul mate @ardellaryana," tulis Nadzmi dengan penuh ikhlas.
Tidak cukup dengan itu, di platform Thareads pula, Nadzmi berkongsi kenangan manis perkahwinan mereka yang ringkas tetapi sarat makna:
"Hanya mas kahwin RM300 sebab Selangor dan senaskah al-Quran sebagai hantaran nikah kita untuk miliki awak, Ardel. Tujuh tahun lalu. Itu sahaja permintaan awak untuk saya halalkan.
"Tetiba nak subuh ni, sayu jap teringat. ALLAH kurniakan saya isteri yang sangat tak mengejar dunia.
"Terima kasih ALLAH atas kurniaan Mu. Semoga ALLAH reda atas niat awak dan pengorbanan awak.
"Biar ALLAH dan saya sahaja tahu apa niat awak ke sana. Selamat pergi dan kembali pada saya dan anak-anak ya," kongsi Nadzmi dengan penuh rasa syukur.
Perkongsian itu nyata menyentuh hati ramai, bukan sahaja kerana pengorbanan Ardell demi ummah, tetapi juga kerana ketulusan cinta Nadzmi yang tak lekang dek masa.

Rata-rata pengikut mereka meninggalkan komen penuh doa dan semangat:
"Bermulah episode menunggu live dari kak Ardell moga selamat sampai ke G dan selamat pulang ke Malaysia."
"Semoga Ardel selamat pergi dan balik ya. Semoga dipermudahkan urusan Ardel di sepanjang perjalanan mu. Take care Ardel."

"Tanpa sedar menitik air mata. Semoga ALLAH permudahkan segala urusan Ardell dan keluarga. Amin Ya ALLAH."
"Semoga dilindungi oleh Allah..... Semoga dipermudahkan segala urusan, semoga selamat pulang ke pangkuan keluarga dan peminat. And fiqah love srikandi Sumud terhebat @ardellaryana."
Kisah ini bukan sekadar menceritakan perjalanan seorang isteri ke misi kemanusiaan, tetapi juga menonjolkan nilai kasih sayang, pengorbanan, dan doa yang menjadi pengikat hati dalam sebuah keluarga.
Dalam dunia yang penuh cabaran, titipan doa suami seperti Nadzmi bukan sahaja menyentuh hati, malah memberi inspirasi kepada ramai untuk menghargai pengorbanan pasangan dan keluarga masing-masing.

