Argentina belasah Brazil, sambar tiket Piala Dunia

FootballSports
26 Mar 2025 • 2:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Simeone meraikan jaringan keempat Argentina di Buenos Aires. Foto: Agensi

STADIUM Monumental bergegar dengan sorakan gemuruh apabila penyandang juara Argentina meraikan kempen Zon Amerika Selatan Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan kemenangan bergaya 4-1 ke atas musuh tradisi, Brazil.

Julian Alvarez, Enzo Fernandez, Alexis Mac Allister, dan Giuliano Simeone menjadi wira La Albiceleste kendalian Lionel Scaloni, memastikan pesta bola sepak di Buenos Aires berlangsung meriah.

Kemenangan ini disahkan selepas Bolivia dan Uruguay seri 0-0, memberikan suasana perayaan awal kepada penyokong Argentina.

Namun, skuad juara dunia itu tidak berpuas hati dengan sekadar meraikan kelayakan, sebaliknya mahu membuktikan kehebatan mereka di hadapan penyokong sendiri.

Alvarez membuka tirai jaringan seawal minit keenam, menewaskan penjaga gol Brazil, Bento, selepas menerima hantaran Thiago Almada.

Fernandez kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-12, memanfaatkan kelemahan pertahanan Brazil bimbingan Dorival Júnior.

Brazil sempat merapatkan jurang pada minit ke-26 menerusi Mattheus Cunha, hasil kesilapan Cristian Romero.

Namun, Mac Allister memadamkan harapan Selecao dengan jaringan voli menakjubkan pada minit ke-37, sekali lagi hasil bantuan Almada.

Kemuncak pesta La Albiceleste tiba pada minit ke-71, apabila Simeone, anak legenda Argentina Diego Simeone, meledakkan gol keempat, jaringan antarabangsa pertamanya.

Gol itu bukan sekadar penutup perlawanan tetapi simbol kebangkitan generasi baharu bola sepak Argentina.

Kemenangan ini mengesahkan kelayakan Argentina ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico, dan Kanada, dengan baki empat perlawanan kelayakan.

Argentina kini mengungguli kumpulan dengan 31 mata, manakala Brazil di tangga keempat.

Dalam perlawanan lain, Ecuador seri 0-0 dengan Chile, manakala Uruguay naik ke tangga ketiga selepas seri 0-0 dengan Bolivia.

Colombia pula terlepas peluang merapatkan jurang dengan pendahulu apabila seri 2-2 dengan Paraguay.

Sementara itu, Venezuela pula menghidupkan impian ke Piala Dunia buat kali pertama dengan kemenangan 1-0 ke atas Peru.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved