Argentina saman syarikat Israel gerudi minyak secara haram di perairan Falkland


WorldPolitics
9 Sep 2026 • 3:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Argentina saman syarikat Israel gerudi minyak secara haram di perairan Falkland


BUENOS AIRES: Argentina mengemukakan aduan jenayah terhadap syarikat Israel, Navitas, kerana melakukan aktiviti penggerudian minyak di luar pantai Kepulauan Falkland tanpa kebenaran, sekali gus memburukkan lagi ketegangan berhubung wilayah yang dipertikaikan itu.

Britain dan Argentina pernah terlibat dalam perang sengit selama 10 minggu pada 1982 bagi merebut wilayah luar negara Britain yang terletak di Atlantik Selatan dikenali sebagai Las Malvinas oleh penduduk Argentina dan dituntut sebagai sebahagian daripada wilayah mereka.

Kepulauan berkenaan kembali menjadi tumpuan utama media sejak beberapa hari kebelakangan ini selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk meneliti semula pendirian berkecuali Washington dalam pertikaian tersebut, satu amaran kepada Britain yang disambut baik oleh Presiden Argentina, Javier Milei.

Berbekalkan sokongan daripada kenyataan Trump itu, Milei kini menumpukan usaha bagi menghentikan projek minyak gabungan Britain-Israel di berhampiran kepulauan berkenaan.

Beliau mendakwa ia melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa Britain dan Argentina supaya tidak mengambil tindakan sepihak sehingga pertikaian mereka diselesaikan.

Isu pemilikan Kepulauan Falkland merupakan satu topik yang amat sensitif bagi kebanyakan penduduk Argentina hingga pernah membayangi perlawanan separuh akhir Piala Dunia antara negara itu dan England pada tahun ini.

Satu kenyataan rasmi presiden memaklumkan pihak kerajaan mengemukakan aduan jenayah di mahkamah Argentina terhadap syarikat Israel, Navitas Petroleum kerana menjalankan aktiviti penjelajahan di medan minyak utama di lembangan North Malvinas yang dikenali sebagai projek Sea Lion.

Navitas memegang saham majoriti dalam projek minyak luar pantai Sea Lion berkenaan, manakala baki saham dipegang oleh syarikat Rockhopper dari Britain.

Kerajaan Argentina turut mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat Kanada, Eco Atlantic yang memegang lesen bagi menjalankan penjelajahan di sebelah medan Sea Lion, dengan menyatakan lesen mereka telah dikeluarkan oleh kerajaan United Kingdom (UK) yang tidak sah.

Satu undang-undang yang digubal pada 2011 menetapkan hukuman hilang kelayakan beroperasi di Argentina sehingga 20 tahun dan hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti penjelajahan di pentas benua Argentina tanpa kebenaran rasmi kerajaan. -AFP

The post Argentina saman syarikat Israel gerudi minyak secara haram di perairan Falkland
 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved