
WASHINGTON: Sebuah syarikat minyak Amerika Syarikat (AS) yang dikaitkan dengan Presiden, Donald Trump menghantar peralatan penggerudian ke Greenland tanpa kebenaran kerajaan wilayah Denmark itu.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada Trump cuba menguasai Greenland secara berperingkat.
Kurang dua minggu lalu, sebuah kapal tunda Denmark menarik kapal kargo ke pelabuhan Nerlerit Inaat, kira-kira 450 kilometer (km) di utara Bulatan Artik di pantai timur Greenland.
Menurut saluran kewartawanan penyiasatan Denmark, Danwatch, kapal kargo kendalian Permagreen itu menurunkan sebuah jengkaut dan 15 kontena berisi peralatan sebelum meninggalkan pelabuhan berkenaan pada keesokan harinya.
Jurucakap Permagreen memberitahu Danwatch, firma itu diupah syarikat Greenland Energy yang berpangkalan di Texas untuk menghantar ‘beberapa jentera dan peralatan’ bagi menyokong aktiviti penerokaan minyak di wilayah Jameson Land.
Bagaimanapun, Kementerian Tenaga Greenland dalam satu kenyataan berkata, syarikat tersebut tidak mendapat kebenaran untuk menghantar peralatan berkenaan.
Syarikat itu juga masih belum memperoleh permit yang diperlukan untuk menjalankan kerja penggerudian di Jameson Land, kawasan tanah lembab yang dilindungi di bawah Konvensyen Ramsar antarabangsa.
Walaupun belum mendapat kelulusan kerajaan Greenland, syarikat tersebut dilihat menganggap aktiviti penggerudian itu sebagai sesuatu yang pasti berlaku.
Syarikat berkenaan memuat naik beberapa perkembangan di media sosial ketika kapal tunda Permagreen meninggalkan Denmark dan berlabuh di ibu negara Greenland, Nuuk.
Sementara itu, syarikat jentera medan minyak, Stampede Drilling, memuat naik gambar sebuah pelantar penggerudian yang tertera logo Greenland Energy di LinkedIn, sambil menyatakan pelantar itu menuju ke Greenland.
Syarikat Greenland Energy turut mendakwa sebuah lagi kapal yang membawa 300 kontena peralatan penggerudian bersedia berlepas dari Kanada ke Greenland pada 12 September.
Seorang jurucakap syarikat memberitahu The Guardian kerja penerokaan dijangka bermula pada Oktober.
Sepanjang penggal kedua pemerintahannya, Trump berulang kali mengancam untuk merampas Greenland dengan mendakwa wilayah itu diperlukan AS ‘demi tujuan keselamatan negara’, khususnya bagi menempatkan sebahagian rangkaian pertahanan peluru berpandu balistik ‘Golden Dome’ yang dijanjikannya.
Trump juga secara terbuka menyatakan beliau mahukan Greenland kerana mineral nadir buminya.
The post Trump cuba ‘sakau’ minyak Greenland tanpa izin appeared first on Utusan Malaysia.





