
BUENOS AIRES – Argentina sudah mula merangka era baharu selepas persaraan Lionel Messi daripada pentas antarabangsa dengan bintang muda, Nico Paz dilaporkan bakal mewarisi jersi keramat nombor 10 skuad kebangsaan selepas ini.
Menurut sumber media tempatan, pengendali La Albiceleste, Lionel Scaloni sudah membuat keputusan dalaman untuk menyerahkan nombor ikonik itu kepada Paz sekiranya beliau meneruskan tugas sebagai ketua jurulatih.
Paz, 21, yang kini bersama Como sebelum ini memakai jersi nombor 18 dalam 11 penampilan pertamanya bersama skuad senior Argentina.
Walaupun nama pemain berpengalaman seperti Enzo Fernandez dan Alexis Mac Allister turut mahukan jersi No. 10, Scaloni dikatakan memilih Paz untuk menjadi simbol kepada permulaan era baharu pasukan.
“Jika Scaloni kekal sebagai jurulatih Argentina, jersi nombor 10 akan menjadi milik Paz. Perkara ini sudah diputuskan secara dalaman dan dipandang sangat serius,” kata laporan tersebut.
Jersi nombor 10 itu sinonim dengan Messi sejak di bawah kendalian Diego Maradona pada Mac 2009 sehingga saingan kejohanan Piala Dunia 2026 yang lepas.
Sementara itu, nama Cristian Romero pula dikaitkan sebagai kapten baharu Argentina selepas persaraan Messi dan Nicolas Otamendi.
Romero sebelum ini merupakan pilihan ketiga di belakang Messi dan Otamendi, namun kini mendapat kepercayaan untuk mengetuai pasukan pada jendela antarabangsa bulan ini. – AGENSI
The post Argentina temui pengganti Messi appeared first on Kosmo Digital.
