
Arne Slot Luah Rasa Sedih Hilang Pemain Seperti Diogo Jota
Pengurus Liverpool, Arne Slot meluahkan rasa sedih dengan pemergian pemainnya, Diogo Jota yang terlibat dalam satu kemalangan ngeri di utara Sepanyol pada awal pagi Khamis.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak kelab, Slot menegaskan bahawa tiada kata-kata mampu menggambarkan rasa terkejut dan pedih yang sedang dirasainya susulan kematian mengejut Jota dan adik lelakinya, Andre Silva.
Dia juga menyifatan Jota bukan sekadar pemain, tetapi insan yang amat disayangi oleh seluruh keluarga kelab.
Nukilan Arne Slot
“Apa yang boleh dikatakan pada saat seperti ini? Saya harap saya mempunyai kata-kata, tetapi saya tahu saya tidak.
“Apa yang saya ada hanyalah perasaan, perasaan yang saya tahu turut dikongsi oleh ramai orang terhadap seorang insan dan pemain yang amat kami sayangi, serta sebuah keluarga yang sangat kami ambil berat.
“Benda pertama yang saya terfikir bukanlah sebagai seorang pengurus bola sepak. Ia datang sebagai seorang bapa, seorang anak, seorang abang dan seorang bapa saudara dan semuanya tertumpu kepada keluarga Diogo dan Andre Silva yang sedang melalui momen kehilangan yang tidak dapat dibayangkan
“Saya ingin menitipkan pesan kepada mereka dengan sangat jelas bahawa You’ll Never Walk Alone. Para pemain, staf, dan penyokong Liverpool Football Club semua bersama anda. Berdasarkan apa yang saya lihat hari ini, seluruh komuniti bola sepak juga turut bersama mereka.
“Ini bukan sekadar reaksi terhadap sebuah tragedi. Ia juga lahir daripada insan-insan yang berhati mulia, menunjukkan rasa hormat terhadap kedua-dua anak muda ini sebagai individu, dan terhadap keluarga mereka secara keseluruhan.
“Bagi kami sebagai sebuah kelab, berita ini benar-benar menyentap. Diogo bukan sekadar pemain kami. Dia adalah insan yang disayangi oleh kami semua. Dia rakan sepasukan, rakan sekerja, sahabat seperjuangan dan dalam setiap peranan itu, dia sangat istimewa
“Saya boleh berkata banyak tentang apa yang dibawanya ke dalam pasukan, tetapi kenyataannya, sesiapa yang pernah menyaksikan Diogo bermain pasti dapat melihatnya. Usaha tanpa henti, keinginan membara, komitmen tinggi, kualiti yang luar biasa, dan gol-gol penting. Inilah intipati sebenar seorang pemain Liverpool,” kata Slot.
Tambahnya, dari sisi Jota seorang yang merendah diri dan tidak mencari populariti, tetapi tetap disukai semua orang. Bahkan dia juga merupakan seorang yang sangat mengambil berat kepada keluarganya.
“Kali terakhir kami berbual, saya mengucapkan tahniah kepada Diogo kerana memenangi Nations League dan mendoakan kebahagiaannya menjelang hari perkahwinan. Dalam banyak aspek, musim panas ini adalah musim impian buat Diogo dan keluarganya dan itu jugalah yang menjadikan segalanya lebih menyedihkan apabila ia berakhir begini,” luahnya lagi.
“Ketika saya mula menyertai kelab ini, salah satu lagu pertama yang saya pelajari ialah lagu yang dinyanyikan penyokong untuk Diogo. Walaupun belum pernah bekerjasama dengannya sebelum ini, tetapi saya dapat tahu dengan segera.
“Jika pemain hebat sepanjang sejarah kelab Liverpool mempunyai lagu khas, Diogo pasti mempunyai keistimewaan di hati peminat.
“Hakikat bahawa kita telah kehilangan keistimewaan itu dan masih sukar untuk diterima. Oleh sebab itu, kita semua di kelab ini perlu bersatu dan saling menguatkan antara satu sama lain. Kita berhutang ini kepada Diogo, kepada Andre Silva, kepada keluarga mereka, dan kepada diri kita sendiri.
“Ucapan takziah saya tujukan kepada isteri Diogo, Rute, tiga orang anak mereka yang comel, serta ibu bapa Diogo dan Andre Silva.
“Apabila tiba masanya nanti, kita akan meraikan Diogo Jota. Kita akan kenang gol-golnya dan kita akan nyanyikan lagunya. Tetapi buat masa ini, kita akan mengenangnya sebagai seorang insan yang begitu istimewa dan meratapi kehilangannya.
“Dia tidak akan pernah dilupakan. Namanya Diogo,” ucap Slot.
Sumber: Liverpool FC
The post Arne Slot Luah Rasa Sedih Hilang Pemain Seperti Diogo Jota appeared first on Siakap Keli.


