
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Acara terulung Kustom Kulture, Art Of Speed (AOS 2025) yang ke-14 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang baru sahaja melabuhkan tirainya semalam (27 Julai).
Event tahunan yang berlangsung selama dua hari bermula 26 Julai lalu itu mendapat sambutan yang luar biasa daripada pengunjung dalam dan luar negara.
Ribuan penggemar arena permotoran dan muzik terpukau dengan pameran luar biasa jentera ubah suai dari serata dunia. Kehadiran tetamu antarabangsa turut menambahkan lagi bahang acara ini.
Rambang mata kami dalam Hall A
Team BuzzKini selaku rakan media hadir ke AOS 2025 untuk merasai sendiri kemeriahan acara itu, lebih seronok apabila kami sendiri sememangnya peminat automotif serta ‘custom culture’.
Setibanya kami di MAEPS pada Sabtu lalu, mata kami terus terpukau dengan kehadiran ramai pengunjung yang telah berada di sana sejak pagi lagi dengan pelbagai gaya penampilan.
Selepas mengambil tiket, team BuzzKini masuk ke dalam Hall A yang menjadi tempat utama pameran, konsert SoundCircus dan booth jualan beberapa jenama lokal dan antarabangsa.


Daripada K-Car, motosikal pelbagai jenis sampailah ke 4×4 yang diubah suai, memang rambang mata dibuatnya! Dah lah boleh shopping sambil layan konsert.
SoundCircus Takeover tahun ini hadir dengan sentuhan segar yang memukau di Dewan A. Antara artis yang memeriahkan pentas sepanjang dua hari AOS adalah Noh Salleh & Restore Iboe, Romantic Echoes, Ruffedge, Luqman Podolski dan ramai lagi!

Peminat Hot Wheels puas melaram dalam Hall C
Di Malaysia terdapat peminat-peminat Hot Wheels dari kalangan orang dewasa mahupun kanak-kanak dan AOS tidak pernah mengetepikan golongan ini dengan acara Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) yang sudah masuk kali ke-3.
Pada tahun ini, HWCCM berada di Dewan C MAEPS dengan pelbagai aktiviti menarik buat peminat dan pengumpul jenama die-cast terbabit.
Suasana sangat meriah dengan pelbagai acara termasuk Zon Aktiviti Hot Wheel, Pameran Hot Wheels Rare & Collectibles, Swap Buy & Sell Hot Wheels dan macam-macam lagi! Kalau tak pandai kawal nafsu, boleh kering dompet dibuatnya hehe.
AOS 2025 turut mencipta sejarah dengan pelancaran kereta edisi konvensyen “kiri & kanan” pertama di Asia Tenggara, istimewa dengan kehadiran pereka produk Hot Wheels, Brendon Vetuskey!




Hall D memang ngam untuk peminat streetwear
Ada tak dekat sini peminat streetwear dan barangan vintage? Kalau ada korang memang rugi tak datang AOS 2025 ini sebab ada Dewan D disediakan khas buat korang.
Kami yang berada di dalam Hall D ini geram juga lihat pakaian-pakaian dari jenama streetwear terkenal yang agak sukar untuk ditemui seperti High Cultured, Midnight Monkey, Yi Fuku, Crack The Box dan banyak lagi.
Yang kaki layan bundle pun seronok, dekat sini korang boleh ‘menyelam’ puas-puas, macam-macam baju, seluar dan kasut yang ada.


Macam-macam aktiviti sebenarnya yang ada di AOS ini, tapi tak mampu lah kami nak cerita semuanya.
Jadi, mari kami senaraikan beberapa aktiviti AOS 2025:
- Santai Scooterist – perhimpunan mega pemilik skuter.
- Perhimpunan kelab kereta moden dan klasik termasuk Alfa Romeo (AROCM), K Car, dan Kelab Pemilik Porsche.
- Roda Rumble 2025 – Perhimpunan dua roda & pesta luaran, disokong oleh Retro Mania.
- Medan selera dengan pelbagai pilihan penjual makanan dan lori yang terletak di kawasan luar.
- Payung Kopi – Zon santai berdekatan pintu masuk Dewan D, menawarkan kopi dan pastri.
- Pasar lambak untuk barangan automotif.
- Pelancaran produk di atas pentas utama.
- Sesi percubaan makanan ringan percuma oleh Corntoz Mamee.
- Pertunjukan fesyen oleh Sunburst Tribe di dalam Dewan D.
- Moto4sale, platform komuniti untuk membeli, menjual, dan berdagang motosikal di bawah 500cc, hadir di Art of Speed 2025.
- Backdoor SoundSystem Collective kini berada di luar, berhadapan dengan Payung Kopi, untuk menghiburkan pengunjung sepanjang hujung minggu.
- Zon Uji Tunggang pelbagai jenis motosikal (Royal Enfield, Vespa, Aprilia, Triumph, Lambretta, Harley-Davidson, Thunder dan banyak lagi).
Oh ya! Untuk pemenang-pemenang kategori Best of Show bagi kereta dan motosikal, mereka telah memenangi hadiah berupa pakej perjalanan ke MOONEYES Yokohama Hot Rod ke-33 tahun 2025 sebagai Tetamu Kehormat.
ANUGERAH KHAS AOS
- BEST OF SHOW – AUTOMOBIL
Pemenang: Shaun Pinto
Model Kenderaan: VW Beetle, 1965
Nota: Perkhidmatan salutan bernilai RM6,800 untuk kenderaan
BEST OF SHOW – MOTOSIKAL
Pemenang: Omar Jumiran, Eastern Bobber
Model Kenderaan: Honda CB 175cc, 1983
Kalau korang terlepas AOS 2025 ini jangan risau, Insya-Allah tahun depan ada lagi.



