
KUALA LUMPUR - Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani baru-baru ini sudah mengambil kira pelbagai aspek, termasuk perundangan.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua perjanjian perdagangan memiliki klausa keluar bagi mencegah sebarang senario tidak diingini.
Menurut beliau, semua Ahli Parlimen khususnya dari blok pembangkang perlu meneliti perjanjian terbabit dengan lebih mendalam, sebelum tampil dengan kenyataan tidak berasas.
"Semua perjanjian perdagangan mempunyai klausa keluar. Mengapa kita menandatanganinya? Kerana kita memerlukan pelaburan daripada AS.
“Itu saya tidak akan minta maaf. Tetapi untuk menyerah kepada AS, itu sama sekali tidak berlaku,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat hari ini.
Tegas Anwar, kritikan diterima kerajaan ketika ini menyamai senario yang berlaku sebelum ini, apabila kerajaan dicemuh kerana menjalin hubungan rapat dengan China.
“Begitu juga dengan China. Dahulu, apabila kita rapat dengan China, kita tetap dikritik. Sekarang, nampaknya rapat dengan Amerika pun tidak boleh.
“Jadi, kita harus rapat dengan siapa? Kelantan dan Kedah sahaja? Dengan mereka pun kita perlu kekalkan hubungan baik dengan semua pihak,” katanya secara berseloroh.
Perdana Menteri berkata demikian sebagai ketika menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN–Machang) yang menuntut penjelasan, sama ada ART memberi manfaat kepada Malaysia dan menggesa ia dibahaskan di Parlimen.
Menerusi sidang sama, Anwar turut menggesa semua pihak untuk mengutamakan kepentingan negara dan tidak mempolitikkan isu tersebut.
“Setuju atau tidak setuju, itu tidak mengapa. China, sebagai contoh, meneliti setiap baris dalam perjanjian. Keputusan mengenai semikonduktor atau nadir bumi tidak bermaksud tiada ruang untuk kerjasama,” jelasnya.
Katanya, beliau bekerja keras demi menarik perhatian kuasa besar dunia demi memastikan negara memiliki masa depan yang cerah.
“Saya bukan muda lagi. Saya bekerja keras untuk menarik perhatian negara-negara utama demi manfaat dan masa depan negara kita,” katanya.
Perdana Menteri memberi amaran, pembangkang tidak seharusnya bersikap “lebih Hamas daripada Hamas” atau “lebih China daripada China”, susulan tafsiran melampau mereka yang boleh menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia.
“Jika sesetengah peruntukan disalah tafsir, ia boleh menjejaskan hubungan kita dengan China. Tidak ada monopoli nadir bumi oleh AS. Perkara itu tidak berlaku.
“Politik tidak seharusnya menanam kebencian yang tidak berasas. Saya akan teliti undang-undang dan peruntukan yang berkaitan,” tambahnya.
Menjelaskan komitmen kewangan di bawah perjanjian itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pembelian Malaysia bernilai lebih RM1 trilion daripada AS akan dilaksanakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bukan kerajaan persekutuan.
“Sebagai contoh, Malaysia Airlines membeli 30 pesawat daripada Airbus dan 30 lagi daripada Boeing. Pelan ini sudah lama wujud, bukan pesanan kerajaan. Begitu juga dengan pembelian daripada Google, Microsoft, atau import LNG oleh PETRONAS, semuanya adalah urus niaga bebas,” katanya. - Getaran, 30 Oktober 2025
