‘Kita boleh tamatkan perjanjian AS jika perlu’: Anwar

LocalPolitics
30 Oct 2025 • 4:57 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan perjanjian perdagangan yang ditandatangani Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini telah menjejaskan kedaulatan negara, malah negara boleh menamatkan perjanjian itu jika perlu.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini, perjanjian yang ditandatanganinya dengan Presiden AS, Donald Trump Ahad lalu telah diteliti pegawai kanan kerajaan bagi memastikan kepentingan negara terpelihara.

Kenyataan itu dibuat susulan gesaan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mahu perjanjian ‘tidak boleh diterima’ itu dibatalkan, menyifatkannya sebagai satu bentuk penjajahan.

“Dalam perjanjian perdagangan ini ada klausa keluar (exit clause). Semua perjanjian perdagangan mempunyai klausa keluar,” kata Anwar.

“Mengapa kita tandatangani perjanjian itu? Kerana kita memerlukan pelaburan dari Amerika Syarikat. Dan saya tidak akan meminta maaf tentang perkara itu.

“Menjadikan separuh kebenaran sebagai sesuatu yang mutlak adalah masalah. Ada orang yang enggan mengiktiraf apa-apa perkara yang baik.”

Anwara berkata, pembangkang seolah cuba menanam kebencian sehingga ada yang menyalahtafsir peruntukan tertentu dalam perjanjian perdagangan dengan negara luar termasuk Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Amerika Syarikat (AS) dengan Malaysia yang dimeterai pada Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini.

Jika dibiarkan katanya, beliau bimbang ia boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara tertentu.

"Perjanjian perdagangan timbal balas dijelaskan semalam oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) dan masih ada ruang berdebat selepas ini. Sebab itu Menteri MITI cabar (tanya) peruntukan (yang) mana?

"Ini masalah membaca tidak secara menyeluruh. Tentunya apa-apa dilakukan oleh AS tentunya diteliti 'line by line' (satu demi satu) oleh China.

"Kalau ada ditafsirkan oleh sesetengah Ahli (Parlimen) pembangkang, ia akan menjejaskan hubungan kita dengan China. Kalau unsur nadir bumi (REE) dimonopoli AS, tidak boleh dengan China... ini tidak berlaku (sebenarnya).

"Jadi kita (pula) jadi 'lebih Hamas dari Hamas', 'lebih China dari China'. Ini masalah kita kerana politik yang menanam sikap benci begitu saja. Saya akan teliti dulu undang-undangnya, teliti peruntukannya," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang memohon penjelasan daripada Perdana Menteri sama ada perjanjian yang dimeterai antara Malaysia dengan AS mempunyai unsur yang boleh menyebabkan tergadai maruah dan kedaulatan negara.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan juga bersetuju supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia membuat pembelian daripada AS di bawah perjanjian perdagangan baharu.

Berhubung komitmen yang diperlukan daripada Malaysia untuk membeli barangan AS berjumlah lebih RM1 trilion, beliau menegaskan ia bukan membabitkan 'wang' kerajaan, sebaliknya pembelian dilakukan oleh GLC.

Anwara berkata, Malaysia Airlines (MAS) umpamanya, membeli 30 pesawat dari Airbus dan 30 lagi dari Boeing sambil menegaskan bahawa rancangan pembelian itu sudah lama dibuat.

"Bukan saya order (pesan pesawat berkenaan). Ini (dilakukan) MAS. Begitu juga tentang pesanan daripada Google, Microsoft. Ini bukan kerajaan.

"Begitu juga import gas. Gas asli cecair (LNG) dari PETRONAS, tentu PETRONAS jelaskan dan ia tentunya bukan baru (berlaku). Ia satu kejayaan besar pelaburan cari gali PETRONAS di Kanada yang dikutuk dulunya kononnya kita jual. Itu pun satu penipuan tetapi tidak berlaku. Sekarang berhasil," katanya. - 30 Oktober, 2025

The post ‘Kita boleh tamatkan perjanjian AS jika perlu’: Anwar appeared first on Scoop.