
LONDON: Kerja keras dan semangat berpasukan menjadi kunci kejayaan Arsenal menewaskan Aston Villa 1-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.
Bukayo Saka meledak gol menerusi penyudah jarak dekat pada babak kedua di Villa Park untuk menghadiahkan juara bertahan itu kemenangan kedua berturut-turut pada awal musim.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta kagum dengan cara anak buahnya bekerja keras untuk meraih kemenangan sengit di venue yang menyaksikan mereka tewas musim lalu.
“Saya sangat gembira, ini kemenangan yang cukup bermakna. Bukan mudah untuk datang ke sini dan mendapatkan tiga mata. Saya rasa kami memang layak menang.
“Kami beraksi dengan sangat baik. Dengan 11 pemain, ia masih belum cukup, tetapi pemain yang masuk sebagai pengganti melakukan tugas yang hebat untuk menamatkan permainan dan memastikan kemenangan.
“Saya tahu betapa sukarnya untuk menang di sini. Setiap pasukan besar bergelut menentang mereka kerana mereka begitu bagus,” kata Arteta.
The Gunners akan melayan kunjungan Chelsea pada Ahad ini dalam ujian awal yang menarik terhadap kemampuan kedua-dua pasukan memburu kejuaraan.
“Musim lalu juga sama. Kami tahu betapa sukarnya untuk mendapatkan mata dalam liga ini. Saya sentiasa mempercayai pemain saya. Tahap prestasi juga bergantung kepada keadaan semasa.
“Tahun lalu, kami kalah di sini dengan cara sangat sukar diterima. Kekalahan itu masih tersemat dalam ingatan,” katanya.
Arsenal mungkin mempunyai beberapa pemain baharu menjelang pertemuan dengan Chelsea dengan penyerang Atletico Madrid, Julian Alvarez, dikaitkan dengan perpindahan ke The Gunners. – AGENSI/UTUSAN
The post Arteta puas Arsenal benam Villa appeared first on Utusan Malaysia.

