Artis lelaki ditahan kes ganja terjebak penagihan sejak 8 tahun lalu

LocalEntertainment
16 Dec 2024 • 6:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Norhizam

SEPANG - Siasatan awal polis mendapati selebriti lelaki yang ditahan kes ganja dipercayai telah terlibat penagihan sejak lapan tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, siasatan sedang dijalankan untuk dilengkapkan sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya.

"Soal siasat mendapati selebriti itu dipercayai terjebak dengan penagihan sejak lapan tahun lalu.

"Serbuan yang dijalankan di rumah teres itu juga didapati merupakan kediamannya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum itu, pelakon dan pelawak berusia 41 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang kira-kira 3.10 petang, Sabtu lalu di sebuah rumah teres di Cyberjaya.

Polis telah menemukan dua paket plastik lut sinar berisi daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 60.3 gram dan suspek turut disahkan positif dadah jenis THC.

Selebriti yang pernah menyertai rancangan Raja Lawak itu kemudian direman lima hari bermula Ahad untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.