Artis Sabah kongsi rasa hiba, tidak putus berdoa

WorldEntertainment
3 Oct 2025 • 3:42 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

ARTIS-artis di negeri ini meluahkan rasa hiba dengan penahanan 15 rakyat Malaysia termasuk penyanyi Zizi Kirana dan aktivis dari Sabah Sul Aidil oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) pada awal pagi Khamis.

Penyanyi Izzi Taip berkata dia tidak dapat menahan air mata apabila membayangkan keadaan Zizi dan aktivis yang lain ketika dalam tahanan.

“Semalam (Rabu) bila dapat tahu kapal GSF dikepung oleh kapal tentera Israel, hati saya berdebar-debar dan cuma mampu berdoa agar mereka selamat dan dapat meneruskan misi kemanusiaan ke Gaza.

“Tapi apabila mendapat tahu Zizi dan beberapa orang lagi ditahan, saya terus tidak dapat tahan air mata membayangkan macam manalah keadaan mereka.

“Sekarang ini saya sentiasa mengambil tahu perkembangan terkini mereka di media sosial,” katanya.

Izzi merayu doa-doa daripada seluruh rakyat Malaysia agar kesemua aktivis dan sukarelawan yang ditangkap dibebaskan segera.

“Ketika ini saya Cuma dapat mendoakan mereka dapat bertahan dan segera dibebaskan.

“Saya juga mengharapkan misi Sumud Flotilla berjaya sampai ke Gaza yang mana saya pasti penduduk di sana sangat memerlukan bantuan kita.

“Ketepikan perbezaan agama dan bangsa kerana misi GSF ini adalah tentang kemanusiaan. Jangan berhenti berdoa untuk keselamatan mereka di sana,” katanya.

Turut berkongsi kesedihan mendalam atas berita duka itu adalah komposer dan Pengerusi Persatuan Komposer Penulis Lirik Artis Nasyid Sabah (Kopan) Nazri Saidali.

Katanya, dia juga sedih dan kecewa apabila memikirkan misi kemanusiaan untuk membantu mangsa perang di Gaza itu dihalang oleh tentera Israel.

“Saya mengikuti perkembangan pelayaran mereka. Namun sejak awal pagi apabila dapat tahu Zizi bersama aktivitis dari Malaysia dan antarabangsa lain ditahan saya rasa sedih teramat.

“Mereka cuma datang membawa bantuan tapi mengapa mereka ditangkap? Sedih juga melihat video mereka ditawan tentera Zionis.

“Saya berharap PMX (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan kerajaan kita dapat membantu membebaskan mereka.

“Mereka tidak bersalah. Mereka datang atas sebab kemanusiaan untuk membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada rakyat di Gaza dan bukan datang untuk berperang.

“Saya berharap seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia teruskan berdoa kepada Tuhan demi keselamatan mereka,” katanya.

Nazri berkata dia menitipkan doa agar Zizi dan semua aktivis yang ditahan pulang dengan selamat.

“Saya turut berharap mereka tabah dengan dugaan ini. Kami di sini tetap mendoakan keselamatan kamu semua,” katanya.

Isterinya Mawar Kausar yang juga komposer dan penulis lirik menyifatkan rakan-rakan artis seperti Zizi dan Heliza Helmii serta aktivis lain yang terlibat dalam misi terbabit sebagai pejuang hebat.

“Tidak dinafikan saya sedih dan kecewa dengan penangkapan mereka sedangkan tujuan mereka cuma menghantar misi bantuan sahaja.   “Namun bagi saya mereka adalah pejuang yang hebat dan saya rasa bangga dengan keberanian mereka.

“Semoga Allah melindungi, mempermudah urusan, memberkat pengorbanan mereka, terus diberi kekuatan, kesabaran dan pulang dengan selamat. Saya yakin mereka akan baik-baik saja. Insya Allah,” katanya.

Penyanyi dan pengacara Apiz Paschya mendoakan agar rakan-rakan artis dan rakyat Malaysia lain yang ditahan dalam misi kemanusiaan itu terus diberikan kekuatan dan semoga semua urusan mereka dipermudahkan oleh Allah.

“Saya berharap mereka selalu kuat dan bersedia ke depannya serta berserah pada Yang Maha Kuasa. Saya agak bersedia dengan apa sahaja keadaan bila tahu mengenai perjuangan misi kemanusiaan ini. Pasti akan terjadi sesuatu yang akan menghalang mereka terutamanya askar-askar Israel.

“Bukan saja rakan artis seperti Zizi, Heliza, rakyat Malaysia yang turut sama memperjuangkan misi ini dan ada beberapa lagi rakyat dari negara luar yang juga mempunyai matlamat sama dengan mereka.

“Saya sebagai manusia yang inginkan keamanan dan ketenangan juga merasa tempias bila sebilangan rakyat malaysia tertangkap di sana.

“Saya memohon semoga kita semua bersatu hati dan mendoakan mereka sentiasa dalam keadaan yang selamat, sampai tujuan misi mereka dan kembali pulang dengan selamat. Insya Allah,” katanya.

Terdahulu, Zizi dan seorang lagi aktivis kemanusiaan dari Sabah Sul Aidil adalah antara 15 rakyat Malaysia yang disahkan antara lebih 200 aktivis antarabangsa ditahan tentera Israel ketika dalam perjalanan menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.

Selain Zizi, beberapa lagi selebriti wanita lain yang juga ditahan tentera Israel ialah Datin Seri Heliza Helmi dan adiknya Hazwani Helmi, Ardell Aryana termasuk aktivis Farah Lee.

Setakat ini, pihak GSF bersama kerajaan Malaysia masih berusaha mendapatkan perkembangan terkini mengenai nasib semua aktivis termasuk melalui saluran diplomatik antarabangsa bagi memastikan mereka dibebaskan segera.