
SEPANG — Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan bahawa kapal terakhir misi Global Sumud Flotilla (GSF), iaitu Marinette telah dipintas tentera Israel pada jam 3.30 petang waktu Malaysia.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sany Araby Abdul Alim Araby berkata, kapal membawa panji Poland itu dinaiki enam kru terdiri daripada tiga rakyat Turki serta masing-masing seorang warganegara Oman, Jerman dan Australia.
Menurut beliau, penahanan tersebut menandakan berakhirnya operasi Zionis ke atas keseluruhan armada flotila yang melibatkan 44 kapal.
“Kapal Shireen yang berfungsi sebagai kapal sokongan perundangan dan perubatan berjaya berlabuh dengan selamat di sebuah pelabuhan pada jam 3.40 petang waktu Malaysia.
“Kapal tersebut sejak awal telah diberikan kebenaran untuk mengikuti flotila bagi menyediakan khidmat guaman dan kesihatan kepada semua peserta,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.
Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Jelas Sany, SNCC diberitahu bahawa wakil guaman yang berpangkalan di The Hague telah berhubung dengan semua delegasi Malaysia.
Katanya, kesemua 23 sukarelawan Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sihat, walaupun situasi masih tegang selepas penahanan besar-besaran aktivis antarabangsa.
“SNCC akan terus memastikan keselamatan dan kebajikan para sukarelawan Malaysia dipantau dari semasa ke semasa.
“Kami ingin menenangkan keluarga bahawa semua sukarelawan Malaysia berada dalam keadaan selamat. Walaupun berdepan tekanan, mereka tetap bersemangat untuk membawa mesej kemanusiaan ini,” katanya.
SNCC jelas beliau, kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan antarabangsa bagi memastikan hak dan keselamatan semua peserta terjamin.
Misi kemanusiaan GSF bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan dan memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.
Konvoi tersebut bagaimanapun berakhir susulan operasi ketenteraan Israel, yang jelas mencabuli perundangan antarabangsa. - Getaran, 3 Oktober 2025

