
GOMBAK - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun pernah berpesan kepada anaknya supaya tidak meninggalkan solat dan sentiasa berkelakuan baik.
Anak ketiga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Muhammmad Hafiz Naquiddin, 22 berkata, kata-kata itu merupakan antara pesanan akhirnya yang sempat disampaikan oleh bapanya sebelum terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam pada Khamis.
Selain itu, Muhammmad Hafiz juga diberikan kesempatan untuk membaca talkin selepas jenazah Allahyarham dikebumikan.
**media[2314139]**
"Arwah pernah berpesan sebagai seorang ayah kepada anaknya, supaya jangan tinggal solat, sentiasa berkelakukan baik dan sebagainya.
"Semua orang ada kenangan dengan ayah masing-masing, tak perlu saya kongsi.
"Cuma selama 22 tahun saya bersama ayah itu, semua itu adalah kenangan sedih dan bahagia antara saya dengan ayah saya," katanya ketika ditemui oleh petugas media di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, Selangor pada Ahad.
Sebelum ini, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, Selangor pada Ahad.
Jenazah Allahyarham yang juga merupakan salah seorang mangsa dalam nahas pesawat terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam pada Khamis itu tiba di pekarangan masjid pada jam 10.18 pagi dan selamat dikebumikan pada jam 12.16 tengah hari selepas selesai disolatkan.
Dalam pada itu, Muhammmad Hafiz yang mempunyai latar belakang pengajian bahasa Arab di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) itu turut menyifatkan bapanya merupakan seorang yang dermawan, mudah didekati dan mesra dengan orang ramai.
"Saya juga berasa bersyukur kerana urusan jenazah dipermudahkan dan cepat dikebumikan.
"Kita mendoakan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan dikurniakan ganjaran pahala yang berterusan daripada ALLAH SWT," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:

