'Arwah ayah tinggalkan hasrat bina maahad tahfiz' - Anak

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 3:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Allahyarham Muhammad semasa menunaikan haji (kiri).

KOTA BHARU – Bekas Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Muhammad Abdul Ghani yang meninggal dunia akibat penyakit jantung pada Khamis meninggalkan hasrat untuk membina sebuah maahad tahfiz bagi membantu golongan anak kurang berkemampuan mendalami al-Quran.

Anaknya, Hafizullah Muhammad, 29, berkata, projek Maahad Tahfiz Wira yang diusahakan Allahyarham itu kini hanya siap kira-kira 50 peratus selepas pembinaannya dimulakan hampir enam tahun lalu.

“Ayah memang mahu sebuah tahfiz dibina bagi membantu anak-anak daripada keluarga susah untuk belajar agama dan menghafaz al-Quran.

“Tertangguh sebab tidak cukup dana dan keluarga akan meneruskan impian arwah, tetapi kami perlu berbincang bersama adik-beradik memandangkan kos pembinaannya agak besar,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Pulau Hilir, Kubang Kerian di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kawasan yang diperuntukkan bagi pembinaan maahad tahfiz tersebut dianggarkan seluas kira-kira satu hektar dan dirancang menempatkan kemudahan seperti asrama, pejabat pentadbiran serta kelas pengajian.

Mengulas mengenai detik pemergian bapanya, Hafizullah berkata, Allahyarham pernah rebah ketika berada di Kuala Lumpur beberapa hari sebelum pulang ke Kelantan.

Katanya, Muhammad mempunyai masalah jantung dan keadaan kesihatan terkini kurang baik, namun tetap berkeras pulang ke Kelantan bagi menghadiri program Ukhwah Madani bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).

“Masa berucap dalam program itu, ayah sempat meminta maaf kepada hadirin dan memaklumkan dirinya sudah berusia serta kurang sihat,” katanya.

Tambahnya, selepas menghadiri program berkenaan dan berbuka puasa bersama ahli PVATM, Allahyarham pulang ke rumah sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.30 malam.

Muhammad yang juga Yang Dipertua PVATM Kelantan tersebut meninggal dunia pada usia 82 tahun.

Allahyarham meninggalkan tiga isteri dan 13 orang anak.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Hilir yang terletak berhampiran kediamannya.