Bekas Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian meninggal dunia

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 8:02 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhammad, 82, meninggal dunia di pada Khamis.

KOTA BHARU – Bekas Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Muhammad Abdul Ghani, 82, meninggal dunia di pada Khamis.

Allahyarham yang juga Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kelantan itu meninggal dunia jam 10.30 malam di kediamannya di Pulau Hilir, Kubang Kerian.

Berita pemergian beliau dimaklumkan oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Akbar Salim yang mewakili kepimpinan UMNO negeri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Seluruh kepimpinan UMNO Kelantan mendoakan agar ALLAH SWT mengurniakan husnul khatimah kepada Allahyarham serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman,” katanya.

Sebelum itu, Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Negara sempat menghadiri program Ukhwah Madani bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di Dewan Datuk Mat Ghani, Kubang Kerian pada petang hari sama.

Dalam majlis tersebut, beliau sempat menyampaikan ucapan kepada para hadirin sambil memaklumkan bahawa dirinya sudah berusia dan berasa kurang sihat serta mengalami sakit dada.

Muhammad bagaimanapun memberitahu tetap menggagahkan diri menghadiri program berkenaan kerana berasa sedikit lega sebelum berangkat ke majlis tersebut.

Beliau juga sempat berbuka puasa bersama ahli-ahli PVATM yang hadir sebelum pulang ke kediamannya.

Program tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Datuk Dr Roslan Hussin serta Presiden PVATM, Kapten (B) Datuk Sharuddin Omar.

Jenazah Allahyarham akan dimandikan dan dikafankan pada jam 10 pagi di kediamannya di Kampung Pulau Hilir, Kubang Kerian.

Jenazah kemudian akan dibawa ke Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian sebelum Solat Jumaat dan solat jenazah akan dilaksanakan sejurus selepas solat tersebut.

Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Hilir yang terletak berhampiran kediamannya.