
BEBERAPA hari lagi menjelang 1 Syawal namun wanita ini terpaksa menerima suratan takdir suami tercinta pergi selamanya.
Nor Fatin Mohd Azhar, 36, isteri kepada anggota tentera Kem 7 Workshop Briged Tebrau, Johor, Mohamad Shakiran Saidi, 36, yang maut dalam kemalangan di KM70, Jalan Bandar Permaisuri, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu pada Rabu berdepan kenyataan perit lelaki dicintai sudah tiada.
Nor Fatin berkata, sebelum ini mereka sekeluarga tidak pernah memakai pakaian raya dengan warna sama, namun tahun ini arwah meminta memakai busana merah termasuk tiga anak mereka
Malah, hasrat untuk pulang beraya di kampung sempena Aidilfitri juga tidak kesampaian dan lebih memilukan, baju merah yang dibeli turut ditemui di lokasi!

"Arwah beria mahu pulang dan teruja untuk memakai pakaian sedondon dengan tema berwarna merah pada Aidilfitri.
"Baju itu dibeli sendiri oleh arwah dan dijumpai berada di dalam kereta yang terlibat kemalangan itu,” katanya.
Dalam pada itu, dia yang menerima berita kejadian menimpa berita duka itu menerusi Facebook pada petang Isnin berkata, Mohamad Shakiran juga beberapa kali menyatakan tidak sabar untuk pulang berjumpa anak bongsu mereka, Muhamad Harasy Mikhail yang kini berusia lapan bulan.
Malah, Nor Fatin yang bekerja di sebuah hospital di Kelantan mendedahkan menerima mesej mengenai kemalangan membabitkan suaminya menerusi peti pesanan daripada seorang pengguna Facebook kira-kira jam 2 petang.
"Saya tergerak hati untuk membuka peti pesanan dan terkejut apabila menerima berita duka itu.
"Saya kemudian bergegas pulang ke rumah dan ke Hospital Setiu bersama keluarga dan anak-anak, yang kemudian mendapati benar suami saya telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui Bernama.

Nor Fatin berkata, dia dan arwah suaminya tinggal berjauhan sejak hampir 11 tahun dan tidak menyangka penantiannya untuk tinggal bersama tidak kesampaian.
Terdahulu, media melaporkan Mohamad Shakiran menaiki Honda Civicd dipandu Muhammad Aminuddin Amran, 21, maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan. Kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Setiu Superintenden Mohd Zain Mat Dris, Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Muhammad Aminuddin yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung secara berdepan dengan lori treler.
Akibat perlanggaran, kereta mangsa mengelongsor ke laluan bertentangan dan bergesel dengan kereta Proton Saga, sebelum melanggar kereta Perodua Alza yang diparkir dalam garaj berbumbung berhampiran tempat kejadian.
Sementara itu, Mohd Zain berkata, pemandu dan penumpang kereta Proton Saga hanya cedera ringan, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat.
Sumber: Bernama, Sinar Harian

