“Arwah jarang belanja banyak” – Mangsa Kemalangan Di Dungun Sempat Hadiahkan Ibunya Emas

Entertainment
10 Oct 2024 • 5:01 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Kemalangan melibatkan empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun, Kuala Terengganu yang dirempuh sebuah kereta SUV pada Rabu malam ternyata meruntun jiwa.

Pastinya, ahli keluarga mangsa yang lebih terkesan dengan tragedi terbabit. Antara yang terkesan, ahli keluarga kepada Khairil Anwar Jamaludin, 20, salah seorang daripada tiga pelajar yang maut dalam kemalangan tragis berdekatan kampus berkenaan di Kampung Sura Hujung.

Arwah sempat hadiahkan ibunya emas

Bapa kepada arwah Khairil Anwar iaitu Jamaludin Husin berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka hadiah emas oleh anak bongsunya itu kepada ibunya, Norma Mohamed Nor pada minggu lepas merupakan pemberian terakhir sebelum pergi buat selamanya.

image is not available

 

Khairil Anwar sebelum ini menghabiskan cuti semesternya selama dua bulan dengan bekerja secara sambilan di kiosk minuman sebuah pasar raya di Ampang, Selangor.

“Arwah jarang membelanjakan wang yang banyak sebelum ini, tapi ketika saya dan isteri hantar dia pulang ke kampus hujung minggu lalu, dia turut membelanjakan wang gajinya untuk membayar bilik penginapan kami dan belanja kami makan.

“Kami juga agak terkejut dan tak sangka dia ada beli emas dan itu pemberian terakhir untuk ibunya,” katanya.

image is not available

Sempat hantar video memasak

Menurut Jamaludin kali terakhir mereka berhubung ketika anaknya berkongsi video masakannya kepada ibunya, iaitu beberapa jam sebelum kemalangan.

“Khairil seorang anak yang pandai berdikari. Petang semalam dia ada hubungi ibunya untuk berkongsi video dia memasak nasi goreng. Dia memang pandai dan rajin memasak di kampus untuk berjimat,” katanya.

Difahamkan, Khairil merupakan insan kedua pergi dalam keluarga selepas anak sulungnya juga meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada bulan yang sama, tujuh tahun lalu.

Sumber: Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.