‘Arwah pengganti ibu, ayah kami’

18 Nov 2026 • 1:36 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Arwah pengganti ibu, ayah kami’

TUMPAT – Sejak kematian ibu akibat komplikasi pelbagai penyakit kronik pada Mac lalu, segala tanggungjawab mengemudi keluarga serta menjaga kebajikan adik-beradik digalas sepenuhnya oleh Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Aliff Yaacob.

Menyedihkan pengorbanan abang sulung yang menjadi sandaran utama keluarga itu terhenti sekelip mata selepas beliau maut dalam nahas membabitkan sebuah van polis di Sungkai, Perak, semalam.

Adik bongsu arwah, Nur Syaza Awatif Yaacob, 16, berkata, pemergian Muhammad Shahrul Aliff merupakan satu kehilangan yang amat besar memandangkan arwah bukan sahaja sebagai abang, malah mengambil alih peranan ketua keluarga sepenuhnya.

Menurutnya, selepas ibu bapa mereka berpisah hampir dua tahun lalu dan diikuti pula pemergian ibu tercinta, arwah tidak pernah culas bertanya khabar serta menyalurkan bantuan kewangan buat mereka di kampung.

“Arwah seorang yang sangat baik dan bertanggungjawab. Segala keperluan dan kebajikan kami adik-beradik dijaga sepenuhnya oleh arwah walaupun dia bertugas jauh di Perak.

“Kali terakhir saya berhubung dengannya pada Ahad lalu, arwah masih sempat memasukkan sejumlah wang belanja untuk kegunaan saya. Sifatnya yang terlalu mengambil berat membuatkan saya sering berasa takut jika kehilangannya suatu hari nanti, dan tidak sangka ia benar-benar terjadi,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tujoh, di sini, awal pagi tadi.

Nur Syaza menambah, selepas pemergian insan-insan tersayang itu, kini hanya tinggal dia dan abang keduanya untuk meneruskan kehidupan.

Katanya, arwah juga sering mengajaknya berkunjung ke Perak dan mereka sudah merancang untuk bertemu pada cuti persekolahan akan datang, selain arwah berjanji pulang ke kampung untuk majlis perkahwinan sepupu pada 19 Disember ini.

“Kali terakhir kami berjumpa adalah pada Mei lalu sempena majlis akikah anak sulungnya, Muhammad Aqif Irsyad yang kini berusia enam bulan di Kampung Geting, di sini,” ujarnya sebak.

Dalam pada itu, sikap bertanggungjawab Allahyarham turut diakui balunya, Nor Ilyanie Abd Aziz, 26, yang menyifatkan suaminya sebagai seorang ketua keluarga, bapa dan anak yang sentiasa meletakkan kepentingan keluarga melebihi dirinya sendiri.

Nor Ilyanie yang bertugas sebagai eksekutif akaun di Jelapang, Ipoh berkata, kehilangan tulang belakang keluarga itu amat berat untuk dilalui.

“Buat masa ini saya masih buntu memikirkan perancangan masa depan kerana dugaan ini terlalu baharu. Saya mohon orang ramai mendoakan yang terbaik untuk saya dan anak serta sedekahkan al-Fatihah buat arwah suami,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi semalam, Muhammad Shahrul Aliff disahkan maut manakala 10 lagi rakan setugasnya cedera selepas van polis yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 351.7, Lebuh Raya Utara-Selatan  arah selatan berhampiran Sungkai, Perak.

 

The post ‘Arwah pengganti ibu, ayah kami’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved