
TUMPAT – Jenazah Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob, anggota polis yang maut dalam kemalangan van Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) semalam, selamat dikebumikan dengan penghormatan mengikut adat kepolisan di Tanah Perkuburan Islam Sri Tujoh dekat Kampung Tujoh di sini, pada 2 pagi tadi.
Jenazah Muhammad Shahrul Alif diusung lapan anggota polis sebelum diberikan tabik hormat sebagai penghormatan terakhir oleh rakan setugas.
Terdahulu, kenderaan yang membawa jenazah tiba di Masjid Mukim Tujoh pada 12.45 tengah malam bagi membolehkan ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah disolatkan sekali lagi oleh kira-kira 100 jemaah.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie bersama beberapa pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.
Muhammad Shahrul Alif meninggalkan isteri Nor Ilyanie Abd Aziz, 26, dan seorang anak lelaki Muhammad Akif Irsyad, berusia enam bulan.
Isteri dan anak Allahyarham turut menyiramkan air mawar ke pusara sejurus selesai pengebumian.
Muhammad Shahrul Alif, 26, yang bertugas di IPD Batu Gajah merupakan antara 11 anggota polis menaiki van berkenaan dalam perjalanan ke Melaka bagi mengambil semula kenderaan dipinjamkan untuk kegunaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Dalam kejadian pada 11.35 pagi semalam, van jenis Maxus itu dipercayai hilang kawalan selepas tayar belakang sebelah kiri pecah sebelum merempuh penghadang besi di bahagian tengah lebuh raya.
Kemalangan itu turut menyebabkan empat anggota polis cedera parah manakala enam lagi mengalami kecederaan ringan. – BERNAMA
The post Nahas van PDRM: Jenazah Lans Koperal Shahrul Alif selamat dikebumi pukul 2 pagi appeared first on Kosmo Online.






