‘Arwah Radzi pinjamkan saya rim, tayar RXZ 20 tahun lalu’

3 Aug 2026 • 10:43 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Arwah Radzi pinjamkan saya rim, tayar RXZ 20 tahun lalu’

PETALING JAYA – Sikap pemurah dan ringan tulang Allahyarham Mohd. Radzi Rahimi terus menjadi bualan apabila seorang kenalannya, Shahman Fauzi berkongsi pengalaman dibantu mangsa kira-kira 20 tahun lalu.

Shahman, 40, berkata, ketika zaman remajanya dia bersama rakan-rakan berkonvoi dari Temerloh ke Cherating sebelum motosikal Yamaha RXZ yang ditunggangnya mengalami tayar pancit sebaik tiba di Maran.

Menurutnya, rakan-rakannya kemudian mendapatkan bantuan daripada komuniti permotoran sebelum Allahyarham tampil meminjamkan rim dan tayar motosikalnya.

“Saya orang Temerloh. Waktu itu zaman remaja saya berkonvoi nak ke Cherating. Sampai di Maran, motosikal saya pancit.

“Saya tidak begitu mengenali arwah, tetapi kawan-kawan minta tolong dari mulut ke mulut dan akhirnya arwah yang muncul membantu dengan meminjamkan rim dan tayarnya kepada saya,” katanya kepada Kosmo!.

Shahman berkata, sifat baik hati Allahyarham amat menyentuh perasaannya kerana sanggup membantu tanpa banyak soal.

“Bagi saya, arwah memang seorang yang sangat baik. Walaupun baru pertama kali jumpa, dia langsung tidak keberatan menolong saya.

“Selepas selesai konvoi dan tiba di rumah, barulah saya pulangkan semula rim serta tayar miliknya,” ujarnya.

Beliau berkata, ketika itu dia hanya mengenali Allahyarham dengan panggilan Eddy sebelum mengetahui individu yang terkorban dalam kejadian tersebut ialah insan yang pernah membantunya kira-kira dua dekad lalu.

“Saya terus bertanya kepada rakan-rakan sekampung dengan arwah untuk mendapatkan kepastian. Rupanya memang Eddy yang pernah menolong saya 20 tahun lalu.

“Semoga Allah menempatkan arwah dalam kalangan orang beriman. Arwah memang baik, tutur katanya lembut dan sopan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi, Mohd. Radzi yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, 40, maut bersama isterinya, Nuriani Mohammad Jafri, 36, anak mereka, Muhammad Rizz Hazim Mohd. Radzi, 5, serta adik iparnya, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35, selepas trak pikap Ford Raptor yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong.

Seorang lagi anak kembar pasangan itu dilaporkan parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Bentong. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Arwah Radzi pinjamkan saya rim, tayar RXZ 20 tahun lalu’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved