
KUALA TERENGGANU – Sampah dan sisa pepejal di bandar raya ini dan Kuala Nerus meningkat kira-kira 130 tan sepanjang penganjuran program RXZ Members 8.0 pada hujung minggu lalu.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lízan Che Mat berkata, situasi itu memaksa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengeluarkan belanja tambahan sebanyak RM40,000 bagi kos pengurusan pembersihan lebihan sampah dan sisa pepejal.
“Kos itu melibatkan pertambahan trip kutipan dan penghantaran sampah ke Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan, Kuala Nerus dan bayaran kerja lebih masa petugas kebersihan MBKT.
“Semua tong sampah yang diletakkan di lokasi-lokasi tumpuan penuh berikutan kebanjiran pengunjung khususnya peserta RXZ Members hujung minggu lalu,” katanya di sini hari ini.
Lizan berkata, pihaknya kesal apabila terdapat sebahagian sampah yang masih dibuang di merata-rata tempat.
Menurutnya, kehadiran hampir 200,000 peserta RXZ Members amat dialu-alukan dan dihargai, namun beliau mengingatkan aspek kebersihan merupakan tanggungjawab bersama.
“MBKT sedang meneliti cadangan untuk menilai kadar deposit kebersihan kepada penganjur. Kita juga bercadang mewajibkan pelan pengurusan sisa pepejal sebagai syarat kelulusan penganjuran acara berskala besar di bandar raya ini selepas ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Peserta RXZ Members ‘tinggalkan’ 130 tan sampah di Terengganu appeared first on Kosmo Digital.






