“Arwah simpan cita-citanya sejak kecil untuk jadi pendidik” – Hafizah Al-Quran Antara Yang Terkorban Nahas Bas Di Gerik

Entertainment
9 Jun 2025 • 4:10 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Salah seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bernama Nurly Shahirah Azman, 23, yang terkorban dalam kemalangan bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi adalah hafizah al-Quran.

Berkongsi mengenai adik bongsunya itu, Mohd Najmuddin Azman, 28, berkata Nurly Shahirah sering mengamalkan bacaan kitab suci al-Quran setiap malam sejak kecil.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Nurly Shahirah ialah di kampung halaman mereka di Gong Pasir, Dungun, Terengganu sebelum adiknya bertolak pulang ke UPSI malam sebelumnya.

Mohd Najmuddin memaklumkan, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada bapanya selepas Subuh pada Isnin.

“Mula-mula saya diberitahu nama adik tiada dalam senarai pelajar yang dirawat, namun selepas itu baru saya dimaklumkan dia terlibat dan telah meninggal dunia,” ujarnya sebak.

image is not available

Katanya, Nurly Shahirah yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, bercita-cita menjadi guru pendidikan khas dan dijadualkan menjalani latihan praktikal bermula Ogos depan.

“Arwah simpan cita-citanya sejak kecil untuk jadi pendidik dan kami sekeluarga amat terkejut dengan tragedi ini.

“Walaupun Nurly merupakan harapan keluarga, kami sekeluarga reda dengan takdir yang menimpa,” katanya.

Keluarganya kini berada di Hospital Gerik untuk proses pengurusan jenazah sebelum dibawa pulang ke Kampung Gong Pasir untuk dikebumikan.

Sumber: Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.