AS akan ambil alih Semenanjung Gaza, kata Trump

5 Feb 2025 • 3:18 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

WASHINGTON, 5 FEB: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa berkata bahawa “AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza,” tidak lama selepas mencadangkan penempatan semula penduduk Palestin secara kekal di luar wilayah itu.

“AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza, dan kami akan melaksanakan tugas itu dengan baik.

“Kami akan membersihkan kawasan itu, membangunkan ekonomi serta menyediakan pekerjaan dan perumahan tanpa had kepada penduduk,” lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik kenyataan Trump dalam sidang media bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Terdahulu, dalam pertemuan dengan Netanyahu di Pejabat Oval, Trump mencadangkan agar Jordan dan Mesir menerima pelarian Palestin dari Gaza, dengan alasan bahawa wilayah itu kini hanya tinggal “runtuhan” dan tidak lagi sesuai untuk didiami.

“Saya tahu mereka telah berbincang dan mengatakan mereka tidak akan menerima. Saya katakan mereka akan menerimanya, malah saya percaya negara lain juga akan menerima.

“Jadi saya rasa penduduk tidak seharusnya kembali ke Gaza. Gaza tidak membawa tuah kepada mereka,” katanya.

Cadangan kontroversi Trump itu mendapat kecaman meluas, dengan ramai pihak menyifatkannya sebagai “pembersihan etnik” dan “jenayah perang.”

Jordan dan Mesir, bersama beberapa negara serantau serta negara Eropah seperti United Kingdom, Perancis dan Jerman menolak keras cadangan penempatan semula Trump.

-BERNAMA-AA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved