AS akan tuntut pampasan perang dari Iran

WorldPolitics
11 Aug 2026 • 10:04 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AS akan tuntut pampasan perang dari Iran

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Isnin bahawa beliau akan menuntut pampasan dari Iran atas konflik sebagai sebahagian daripada sebarang rundingan damai, dengan merujuk kepada serangan dan pembunuhan sejak beberapa dekad lalu yang didakwa disokong atau dilakukan oleh Teheran.

Rundingan untuk menamatkan perang dan membuka semula Selat Hormuz masih menemui jalan buntu, manakala tuntutan baharu Trump berisiko menjadikan persetujuan segera semakin sukar dicapai.

Pengumuman Trump itu dibuat sebagai tindak balas secara langsung terhadap desakan Iran bahawa pembayaran pampasan perang oleh AS merupakan prasyarat bagi sebarang penyelesaian terhadap permusuhan yang sedang berlangsung.

“Saya juga menuntut pampasan dari Iran,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa tuntutannya bukan sahaja meliputi kerosakan akibat perang semasa, tetapi juga serangan Iran terhadap sasaran AS sejak lebih dua dekad lalu, selain bayaran kepada keluarga penunjuk perasaan Iran yang dibunuh oleh pihak berkuasa sepanjang 50 tahun lalu.

Dalam satu catatan lain, Trump turut berkata bahawa Republik Islam itu harus bertanggungjawab terhadap kematian dan kerosakan yang disebabkannya di Lubnan, Syria, Yemen dan Gaza.

Dalam corak yang semakin kerap berlaku, Trump minggu lalu mengancam untuk menyerang Iran dengan sangat hebat yang berpotensi merangkumi serangan terhadap infrastruktur awam, sebelum mengubah pendirian dan memberi bayangan bahawa perjanjian damai semakin hampir.

Trump pada hujung minggu berkata, beliau bersedia membiarkan tekanan ekonomi meningkat sebagai ganti kepada serangan ketenteraan selanjutnya.

Portal media digital Axios berkata, Presiden AS itu tidak menunjukkan kekecewaan terhadap tindakan Iran melengahkan persetujuan untuk membuka Selat Hormuz dalam wawancara yang diterbitkan pada Ahad.

Teheran menuntut supaya AS terlebih dahulu menamatkan sekatan terhadap pelabuhan Iran dan menarik balik sekatan terhadap industri minyak negara itu.

Ketika rundingan gagal mencapai kemajuan, sekatan terhadap laluan Selat Hormuz oleh Iran menyebabkan harga bahan api melonjak dan menggugat ekonomi dunia, sekali gus memberi tekanan kepada Trump menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November. – AFP

 

The post AS akan tuntut pampasan perang dari Iran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved