
AS Belum Sedia Iringi Kapal Tangki Minyak Di Selat Hormuz
Tentera Amerika Syarikat (AS) ketika ini 'belum bersedia' untuk mengiringi kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz yang kritikal kerana semua asetnya tertumpu kepada serangan ke atas Iran, kata Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright pada Khamis.
Kenyataan Wright itu dibuat ketika satu serangan ke atas dua kapal tangki minyak di perairan Iraq mengorbankan sekurang-kurangnya seorang, selain menyebabkan harga minyak melonjak seketika melepasi AS$100 setong.
Memetik AFP, sejak melancarkan perang terhadap Iran, Presiden AS Donald Trump cuba menenangkan pasaran dengan menawarkan pengiring Tentera Laut AS untuk kapal tangki minyak serta kemudahan insurans semula kepada syarikat perkapalan.
Namun setakat ini, tiada operasi pengiring dilakukan.
“Ia akan berlaku dalam masa terdekat, tetapi bukan sekarang. Kami masih belum bersedia.
"Semua aset ketenteraan kami ketika ini tertumpu kepada usaha memusnahkan keupayaan serangan Iran serta industri pembuatan yang menyokong keupayaan tersebut," kata Wright kepada CNBC.

Beliau menambah, operasi pengiring kapal tangki itu berkemungkinan besar akan dilaksanakan sebelum akhir bulan ini.
Pada Selasa lalu, Wright turut mencetuskan turun naik harga minyak apabila beliau menyatakan kapal AS telah menjalankan operasi pengiring. Namun, hantaran tersebut segera dipadamkan dan Rumah Putih menafikan bahawa operasi itu pernah berlaku.
Baca juga:Ketika Iran melancarkan gelombang baharu serangan terhadap sasaran tenaga di Teluk, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menyatakan konflik tersebut mewujudkan gangguan bekalan terbesar dalam sejarah pasaran minyak global.
Serangan AS dan Israel terhadap sasaran Iran, termasuk infrastruktur tenaga, turut mengganggu bekalan minyak.
Konflik berkenaan menyebabkan harga tenaga meningkat mendadak, termasuk di AS, sekali gus menimbulkan tekanan politik terhadap Trump.
Pada Khamis, presiden AS itu cuba menjelaskan isu tersebut dengan menyatakan bahawa usaha menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear lebih penting daripada harga petrol.
“Amerika Syarikat adalah pengeluar minyak terbesar di dunia, jadi apabila harga minyak naik, kami memperoleh banyak keuntungan. Namun yang jauh lebih penting bagi saya sebagai presiden ialah menghentikan empayar jahat Iran daripada memiliki senjata nuklear dan memusnahkan Asia Barat serta dunia,” kata Trump menerusi hantaran di platform Truth Social miliknya.

