johardy26/11/2026 - 07:45 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov - Amerika Syarikat (AS) mencadangkan tarif sehingga 18% ke atas barangan import dari Malaysia, dengan kadar sehingga 25% turut dipertimbangkan jika Washington menilai rundingan yang sedang berjalan dan komitmen perdagangan Malaysia tidak memuaskan.
Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) berkata kadar 18% itu mengambil kira duti sedia ada, rundingan dengan Malaysia serta komitmen di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS yang dimeterai pada 26 Oktober 2025.
Bagi kedua-dua kadar yang dicadangkan, duti Seksyen 301 sedia ada bagi sesuatu produk akan ditolak daripada kadar yang dicadangkan untuk produk berkenaan.
USTR turut mencadangkan pengecualian bagi produk semikonduktor, keluli dan aluminium tertentu yang sudah tertakluk kepada duti Seksyen 232.
Malaysia adalah antara 14 negara yang berdepan cadangan tarif itu selepas siasatan selama lapan bulan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan AS 1974.
USTR mendakwa dasar dan amalan ekonomi terbabit menyumbang kepada lebihan kapasiti dan pengeluaran dalam sektor pembuatan sehingga menjejaskan perdagangan AS.
Bagi Malaysia, USTR membangkitkan isu pelan pengembangan sektor pembuatan dan eksport, pembiayaan yang memberi keutamaan kepada sektor tertentu serta import dan pelaburan langsung asing dari ekonomi bukan pasaran.
Kerajaan Malaysia, dalam maklum balas yang direkodkan USTR, menolak dakwaan itu. Malaysia menyatakan sektor pembuatannya berkembang mengikut permintaan global dan eksportnya melengkapi pengeluaran domestik AS.
Pendengaran awam bermula 25 Januari
Siasatan terhadap Malaysia bermula pada 11 Mac lalu. USTR mengadakan rundingan dengan kerajaan Malaysia pada 12 Mei dan berkata perbincangan itu belum menyelesaikan kebimbangan Washington.
Tarif itu masih di peringkat cadangan. USTR menetapkan 5 Januari 2027 sebagai tarikh akhir penyerahan maklum balas bertulis, manakala pendengaran awam dijadual bermula pada 25 Januari 2027 di Washington.
Kemboja, Indonesia, Thailand dan Bangladesh turut berdepan cadangan kadar sehingga 18%. Bagi Singapura, USTR mencadangkan kadar sehingga 20% yang boleh diselaraskan kepada 10% jika negara itu mencapai perjanjian atau memuktamadkan rundingan yang menangani kebimbangan Washington.
Vietnam pula berdepan cadangan kadar sehingga 35% yang boleh diselaraskan kepada 20% jika mencapai perjanjian yang menangani dapatan siasatan itu. Bagi Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Kesatuan Eropah dan Switzerland, USTR mengambil kira duti sedia ada dalam pengiraan kadar 15% yang dicadangkan.
USTR pada mulanya menyiasat 16 ekonomi. Mexico dan Norway belum termasuk dalam cadangan tarif yang diumumkan kerana USTR belum membuat keputusan berhubung dapatan siasatan terhadap kedua-dua negara itu.
Cadangan itu menyusuli keputusan Mahkamah Agung AS pada Februari lalu bahawa Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (IEEPA) tidak memberi kuasa kepada presiden untuk mengenakan tarif.
Pentadbiran Presiden Donald Trump menggunakan Seksyen 301 Akta Perdagangan AS 1974 sebagai asas bagi cadangan tarif terbaharu ini. — DagangNews.com



