AS capai perjanjian minyak terbesar dengan Venezuela – Trump

WorldPolitics
29 Aug 2026 • 11:10 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: AS capai perjanjian minyak terbesar dengan Venezuela – Trump

Presiden Trump umum AS capai perjanjian bagi kawalan majoriti lebih 65 bilion tong rizab minyak Venezuela, disifatkan urus niaga minyak terbesar dunia.

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Jumaat, Washington telah memuktamadkan perjanjian dengan Venezuela untuk mendapatkan kawalan majoriti ke atas lebih 65 bilion tong rizab minyak yang disahkan, lapor Anadolu Ajansi.

“AS baru sahaja memeterai perjanjian dengan Venezuela bagi urus niaga minyak terbesar dalam sejarah dunia,” tulis beliau di platform media sosial Truth Social.

Beliau memuji Setiausaha Negara Marco Rubio dan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth kerana bekerjasama dengan Pemangku Presiden Venezuela Delcy Rodriguez, bagi memuktamadkan urus niaga tersebut.

Rodriguez mengambil alih jawatan presiden sementara pada Januari selepas satu operasi ketenteraan AS menahan Presiden Nicolas Maduro.

Trump menegaskan bahawa perjanjian itu dicapai melalui kerjasama dengan sektor swasta dan tidak akan melibatkan sebarang kos bagi pembayar cukai AS.

Beliau mendakwa urus niaga itu menggandakan rizab minyak sedia ada AS dan akan “menurunkan harga bahan api dengan ketara” bagi rakyat AS dalam jangka masa panjang, di samping memacu kemakmuran di negara Venezuela.

Perjanjian itu akan mengukuhkan hubungan yang berkembang pesat antara Washington dan Caracas, kata Trump.

Rubio menyifatkan perjanjian itu sebagai satu “kejayaan besar” bagi kedua-dua negara yang akan membawa pelaburan swasta bernilai hampir US$100 bilion ke Venezuela.

The Washington Post sebelum ini melaporkan pentadbiran itu menyasarkan kepentingan dalam 17 medan minyak khusus termasuk beberapa daripadanya telah terabai selama bertahun-tahun dan kekurangan infrastruktur pengangkutan yang diperlukan.

Menurut laporan itu, pemindahan kawalan sumber asli kepada Washington mungkin memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Venezuela disebabkan oleh tentangan hebat di peringkat domestik.

Walaupun terdapat usaha pentadbiran untuk menarik pelaburan selepas kejadian pada Januari, pengeluaran minyak Venezuela hanya meningkat kira-kira 200,000 tong sehari tahun lepas, menurut The Washington Post.

Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright, dijangka melawat Venezuela minggu hadapan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved