
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, melancarkan kempen baharu untuk menyasarkan ekonomi Iran, termasuk mengancam hukuman berat terhadap mana-mana negara yang membantu atau menjalankan urus niaga dengan Teheran.
Langkah berkenaan dilaksanakan ketika konflik menghampiri bulan keenam tanpa sebarang langkah diplomatik atau ketenteraan segera.
Trump turut berdepan tekanan politik domestik yang semakin meningkat susulan konflik berkenaan, dengan pilihan raya November semakin hampir.
“Hari ini, saya mengumumkan operasi ekonomi paling melumpuhkan yang pernah dikenakan terhadap mana-mana negara! Ini akan menjadi Perang Ekonomi dan Pengasingan pada skala yang belum pernah berlaku,” katanya menerusi hantaran di platform Truth Social.
Beliau berkata, mana-mana negara yang membenarkan institusi kewangan, perniagaan, lapangan terbang atau entiti kerajaan mereka memberikan sebarang bentuk bantuan kepada Iran akan berdepan kesan ekonomi yang luar biasa.
Trump bagaimanapun tidak menjelaskan bentuk tindakan yang akan dikenakan terhadap negara terbabit dan tidak menamakan mana-mana negara selain Iran.
Kenyataan Trump dibuat hampir seminggu selepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, berkata Washington akan mengenakan pengasingan ekonomi terhadap negara itu pada skala yang belum pernah dilihat dunia sebelum ini.
Walaupun serangan peluru berpandu kebelakangan ini semakin reda, Iran terus mengenakan sekatan berkesan terhadap perkapalan melalui Selat Hormuz selepas rundingan AS-Iran bagi membuka semula laluan penting itu menemukan jalan buntu.
Trump kelmarin menegaskan rundingan terhenti dan menerusi media sosial mencadangkan Selat Hormuz boleh menjadi ‘WILAYAH BAHARU AS’.- AFP
The post Trump ugut hukum negara bantu ekonomi Iran appeared first on Utusan Malaysia.


