AS dakwa helikopter lancar peluru berpandu lumpuhkan kapal langgar sekatan di Iran

WorldPolitics
12 Aug 2026 • 7:06 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AS dakwa helikopter lancar peluru berpandu lumpuhkan kapal langgar sekatan di Iran

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) mendakwa sebuah helikopternya melancarkan peluru berpandu bagi melumpuhkan sistem stereng sebuah kapal kargo yang cuba melanggar sekatan AS terhadap pelabuhan Iran.

Dalam satu kenyataan, Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) berkata, pesawat MH-60 miliknya pada Selasa melancarkan dua peluru berpandu Hellfire ke bahagian bilik enjin kapal M/V Vela Nova yang mengibarkan bendera Panama ketika kapal itu cuba belayar merentasi Teluk Oman.

Menurut CENTCOM, tindakan itu diambil selepas kru awam kapal berkenaan mengabaikan amaran berulang daripada tentera AS.

“Kapal itu tidak lagi meneruskan perjalanan ke Iran,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam kenyataannya di platform X, CENTCOM berkata, M/V Vela Nova cuba belayar menuju sebuah pelabuhan di Iran, namun tidak menyatakan pelabuhan berkenaan.

CENTCOM juga tidak mendedahkan sama ada serangan itu mengakibatkan sebarang kematian atau kecederaan.

Iran setakat ini belum memberikan sebarang komen mengenai kejadian itu.

AS kini menguatkuasakan sekatan terhadap pelabuhan Iran susulan kegagalan usaha menamatkan perang yang dimulakan oleh AS dan Israel pada 28 Februari lalu.

Teheran bertindak balas dengan melancarkan serangan terhadap Israel serta negara-negara sekutu AS di rantau Teluk. Iran juga secara berkesan menutup Selat Hormuz, laluan perkapalan penting bagi penghantaran minyak dunia.

Sebelum perang tercetus, kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia dan gas asli cecair (LNG) melalui selat berkenaan. Harga komoditi itu mengalami turun naik ketara sejak konflik bermula.

Usaha pengantara untuk mencapai persetujuan bagi membuka semula Selat Hormuz setakat ini gagal, manakala AS dan Iran terus berbalas serangan secara berkala sejak gencatan senjata terbaharu runtuh pada Jun lalu.

Menurut Centcom, sekatan AS terhadap Iran kekal berkuat kuasa sepenuhnya.

Sehingga 11 Ogos, Centcom mendakwa telah mengarahkan 55 kapal komersial yang cuba melanggar sekatan untuk mengubah haluan, melumpuhkan tiga kapal yang gagal mematuhi arahan dan menaiki dua kapal untuk pemeriksaan.

Dalam perkembangan berasingan pada Selasa, kerajaan Yemen berkata, enam orang terbunuh manakala 10 lagi cedera dalam serangan kumpulan Houthi yang disokong Iran terhadap sebuah kapal kargo di Laut Merah.

Houthi mendakwa mereka menyerang kapal berkenaan kerana membawa peralatan ketenteraan milik Arab Saudi.

Serangan itu dipercayai merupakan serangan maut pertama kumpulan berkenaan terhadap sebuah kapal sejak perang bermula.-AGENSI

The post AS dakwa helikopter lancar peluru berpandu lumpuhkan kapal langgar sekatan di Iran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved