
LONDON: Trafik kapal melalui Selat Hormuz merosot kepada hanya enam kapal semalam, jauh lebih rendah berbanding purata kira-kira 11 kapal dalam tempoh 10 hari, ketika harapan untuk perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran semakin pudar.
Data Kpler pada Selasa menunjukkan empat kapal komoditi, termasuk dua kapal tangki produk minyak kosong, memasuki Selat Hormuz setakat 4.20 pagi waktu tempatan.
Dua kapal pula keluar dari selat berkenaan, masing-masing sebuah kapal tangki kecil yang membawa gas petroleum cecair (LPG) dan sebuah kapal yang membawa bahan api sisa.
Sebelum tercetusnya perang, kira-kira 130 hingga 140 kapal biasanya melalui Selat Hormuz setiap hari, menunjukkan penurunan ketara dalam trafik perkapalan di laluan strategik itu.
Sementara itu, trafik di Selat Bab el-Mandeb di Laut Merah kekal hampir tidak berubah, dengan 25 kapal melaluinya pada Isnin berbanding purata hampir 24 kapal dalam tempoh 10 hari.
Perkembangan itu berlaku ketika Presiden AS, Donald Trump, pada Isnin mengemukakan tuntutannya sendiri sebagai respons terhadap syarat Iran untuk mencapai perjanjian damai.
Trump menuntut Iran membayar pampasan kepada individu yang terbunuh dalam peperangan, serangan dan tunjuk perasaan.
Tuntutan itu dibuat sebagai respons terhadap desakan Tehran supaya pampasan dibayar dan sekatan terhadap Iran ditamatkan.
Syarat yang dikemukakan Iran itu sebahagian besarnya selaras dengan terma perjanjian damai awal yang ditandatangani pada Jun, namun perjanjian berkenaan kemudiannya gagal dicapai.
Sejak perang bermula pada Februari, Trump berulang kali beralih antara mengancam untuk meningkatkan konflik dan mendakwa perjanjian damai sudah hampir dicapai.- AGENSI
The post Trafik Selat Hormuz merosot, hanya enam kapal guna laluan appeared first on Utusan Malaysia.




