
DUBAI: Satu sumber kanan Iran mendedahkan bahawa Amerika Syarikat (AS) didakwa bersetuju untuk melepaskan sebahagian aset Iran yang dibekukan di Qatar dan beberapa bank asing lain, sebagai isyarat kesungguhan dalam mencapai persetujuan dengan Washington.
Langkah itu dilaporkan berkait rapat dengan usaha memastikan laluan strategik di Selat Hormuz kekal selamat, yang dijangka menjadi antara isu utama dalam rundingan yang berlangsung di Islamabad.
Menurut sumber berkenaan yang enggan dikenali atas faktor sensitiviti, pembebasan aset itu dilihat sebagai sebahagian daripada kompromi awal antara kedua-dua pihak, namun nilai sebenar aset yang terlibat tidak didedahkan secara rasmi.
Bagaimanapun, satu lagi sumber Iran mendakwa jumlah dana yang dipersetujui untuk dilepaskan adalah sekitar AS$6 bilion (RM23.8 bilion), yang sebelum ini dibekukan di Qatar.
Setakat ini, tiada sebarang pengesahan rasmi dikeluarkan oleh pihak AS, manakala Kementerian Luar Qatar turut memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Menurut laporan Reuters, perkembangan itu dilihat sebagai sebahagian daripada dinamika rundingan tidak langsung antara Washington dan Tehran yang masih rapuh, namun berpotensi memberi kesan besar kepada kestabilan serantau.
Dana Pernah Dibeku Dua Kali
Untuk rekod, dana berjumlah AS$6 bilion itu pada asalnya dibekukan pada 2018, sebelum dijadualkan dilepaskan pada 2023 sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tahanan antara AS dan Iran.
Namun, dana berkenaan sekali lagi dibekukan oleh pentadbiran Presiden AS, Joe Biden susulan serangan terhadap Israel pada 7 Oktober 2023 oleh kumpulan pejuang Hamas yang mempunyai kaitan dengan Iran.
Ketika itu, pegawai AS menegaskan bahawa Iran tidak akan dapat mengakses dana tersebut dalam masa terdekat, selain mengekalkan hak untuk membekukan sepenuhnya akaun berkenaan.
Asal Dana & Sekatan AS
Dana itu berpunca daripada hasil jualan minyak Iran kepada Korea Selatan, namun disekat di bank negara itu selepas pentadbiran Presiden Donald Trump mengenakan semula sekatan terhadap Iran pada tahun 2018.
Langkah tersebut dibuat selepas Washington menarik diri daripada perjanjian nuklear dengan Tehran, sekali gus meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara.
Pada September 2023, dana itu dipindahkan ke akaun di Qatar sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tahanan yang dikendalikan oleh Doha.
Perjanjian itu menyaksikan pembebasan lima rakyat AS yang ditahan di Iran, sebagai pertukaran kepada pembebasan lima warga Iran di AS serta pelepasan dana berkenaan.
Diguna Untuk Tujuan Kemanusiaan Sahaja
Menurut pegawai AS ketika itu, dana tersebut hanya boleh digunakan untuk tujuan kemanusiaan, termasuk pembelian makanan, ubat-ubatan, peralatan perubatan dan barangan pertanian.
Segala transaksi perlu melalui pembekal yang diluluskan serta berada di bawah pemantauan ketat Jabatan Perbendaharaan AS.
Isyarat Baharu Atau Taktik Diplomasi?
Perkembangan terbaharu ini dilihat berpotensi membuka ruang kepada rundingan yang lebih luas antara Washington dan Tehran, khususnya dalam isu keselamatan maritim di Selat Hormuz yang menjadi nadi perdagangan minyak dunia.
Namun, tanpa pengesahan rasmi daripada AS, persoalan sama ada ia benar-benar langkah ke arah perdamaian, atau sekadar strategi diplomasi sementara, masih kekal menjadi tanda tanya. – The Malaysian Update
The post AS Didakwa Setuju Lepaskan RM23.8 Bilion Dana Iran appeared first on The Malaysian Update.
