
WASHINGTON: Sebuah kapal induk Amerika Syarikat (AS) sedang menuju ke Asia Barat untuk menggantikan USS Abraham Lincoln selepas ribuan kelasi dan anggota marin yang menjalani kerahan selama sembilan bulan dilaporkan berdepan kekurangan makanan serta tekanan mental.
USS George Washington yang berada berhampiran Malaysia pada Khamis dijangka tiba di rantau itu dalam tempoh kira-kira sembilan hari, menurut analisis BBC.
Awal minggu ini, Military Times dan Stars & Stripes melaporkan waris kelasi USS Abraham Lincoln meluahkan kebimbangan terhadap kemerosotan kesihatan mental ahli keluarga mereka yang berada di atas kapal berkenaan, dengan beberapa anggota dilaporkan cuba terjun ke laut.
Keadaan yang dilaporkan termasuk tahap kebersihan yang buruk, jarang berlabuh di pelabuhan, masalah paip, keletihan serta kekurangan makanan segar.
Dalam wawancara dengan BBC, seorang ahli keluarga kelasi USS Abraham Lincoln mendakwa saudaranya kehilangan berat badan sebanyak 29 kilogram sejak kapal itu memulakan pelayaran dan mengalami keletihan akibat bunyi bising pesawat serta getaran kapal yang berterusan.
Kapal berkenaan meninggalkan pangkalannya di San Diego pada November tahun lalu, membawa kelasi dan anggota marin belayar selama 250 hari berturut-turut bagi menyokong operasi AS dalam perang dengan Iran tanpa menjejakkan kaki ke daratan, tempoh terpanjang bagi sebuah kapal induk pada zaman moden.
Tentera Laut AS mengakui berdepan masalah bekalan namun menafikan wujudnya krisis kesihatan mental di atas kapal berkenaan yang membawa kira-kira 5,000 orang.
Ketika bercakap kepada pemberita, Presiden, Donald Trump turut menafikan ahli keluarga kelasi bimbang terhadap kebajikan saudara mereka dan menolak kemungkinan kerahan itu sudah berlangsung terlalu lama.
Memetik seorang pegawai AS, CBS News melaporkan USS George Washington meninggalkan kemudahan tentera laut di Yokosuka, Jepun pada Mei lalu untuk melakukan rondaan di rantau Pasifik dan kini menuju ke Asia Barat bagi menggantikan USS Abraham Lincoln.
Berdasarkan kelajuan terakhir yang direkodkan data penjejakan, kapal itu dijangka tiba di pelabuhan Duqm, Oman sekitar 22 Ogos. Pelabuhan berkenaan terletak kira-kira 800 kilometer dari pantai Iran.
Apabila tiba di Asia Barat, ia akan menjadi kapal induk ketiga AS di rantau itu. USS George H.W. Bush turut berada di kawasan berkenaan.
The post AS ganti kapal induk berdepan isu kerahan di Asia Barat appeared first on Utusan Malaysia.


