
TAWAU: Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan terus diberi keutamaan dalam Belanjawan 2027 meskipun negara berdepan ketidaktentuan ekonomi global di Asia Barat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, bantuan itu kekal penting dalam membantu golongan kurang berkemampuan menangani tekanan kos sara hidup.
Beliau berkata, sejak program bantuan itu diperkenalkan, ia terbukti berkesan dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Kalau kita tengok pendekatan kerajaan, usaha untuk memberi bantuan dengan cara ini masih penting.
“Kerajaan dalam agihan belanjawan akan terus memberi keutamaan kepada program itu (SARA) kerana ia berkesan membantu mereka yang mungkin tidak mempunyai kemampuan mencukupi bagi menampung kos sara hidup,” katanya ditemui selepas menjalankan tinjauan program SARA di sebuah kedai rakan niaga SARA, di sini hari ini.
Jelas beliau, peruntukan keseluruhan bagi SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada tahun ini mencecah RM15 bilion sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.
Katanya, hampir sembilan juta penerima SARA direkodkan dengan 99 peratus daripada mereka memanfaatkan bantuan berkenaan.
Menurut beliau lagi, manfaat SARA tidak terhad kepada penerima bantuan tetapi turut memberi pulangan kepada peniaga dan pengusaha produk tempatan menerusi rangkaian rakan niaga.
“Sekarang ini terdapat 14,500 rakan niaga SARA sudah menyertai program itu di seluruh negara dan jumlah berkenaan disasarkan meningkat kepada 20,000 sebelum hujung tahun ini.
“Kita mahu melebarkan jaringan kepada kedai kecil dan syarikat korporat untuk menyertai program ini supaya lebih banyak limpahan dapat dinikmati usahawan tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh biarpun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global.
Katanya, ketahanan ekonomi negara didorong penerimaan baik terhadap produk eksport tempatan termasuk kestabilan enjin ekonomi domestik menerusi perbelanjaan pengguna dan kemasukan pelaburan.
“Perkara ini disokong dengan pertumbuhan ekonomi dengan kadar pengangguran kekal rendah di bawah tiga peratus manakala inflasi terkawal pada 1.9 peratus,” jelasnya. – UTUSAN
The post SARA akan terus jadi keutamaan dalam Belanjawan 2027 appeared first on Utusan Malaysia.




