
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) berharap satu perjanjian untuk membuka semula Selat Hormuz dapat dimeterai hari ini atau esok, kata seorang pegawai kanan AS pada Selasa, beberapa jam selepas sebuah lagi kapal kargo terkena serangan di laluan perairan strategik itu.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata kepada penyiar CNBC bahawa terdapat kemungkinan kami akan mencapai satu perjanjian dalam tempoh beberapa jam akan datang, sehari selepas Presiden Donald Trump berkata, selat itu mungkin dibuka semula pada Selasa.
Ketika bercakap di Rumah Putih pada Isnin, Trump sekali lagi menggabungkan keyakinannya terhadap usaha diplomatik dengan amaran keras dengan menyifatkan keadaan itu sebagai peluang terakhir Iran sebelum berdepan tindakan yang akan melumpuhkan mereka.
Teheran dan Washington telah berperang sejak 28 Februari apabila AS dan Israel melancarkan serangan mengejut ke atas Iran. Walaupun gencatan senjata dan satu perjanjian awal dicapai dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, usaha diplomatik masih gagal menamatkan konflik.
Selat Hormuz, yang menjadi laluan utama bekalan minyak dan gas dunia, terus menjadi punca berulangnya pertempuran.
Iran mahu mengekalkan kawalan ke atas selat itu dan mengenakan bayaran kepada kapal yang melaluinya, kuasa yang tidak pernah dilaksanakannya sebelum perang dan ditentang keras oleh AS.
Dalam corak yang semakin berulang, Trump minggu lalu mengancam untuk menyerang Iran dengan dahsyat, termasuk kemungkinan menyasarkan infrastruktur awam, sebelum menarik balik ancaman itu pada Sabtu dengan berkata parameter bagi satu perjanjian telah pun dipersetujui.
Pada Isnin, beliau berkata telah bersetuju untuk meneruskan rundingan dengan Iran atas permintaan Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan beberapa negara lain. – AFP
The post AS harap Iran perjanjian dengan Iran dicapai hari ini atau esok appeared first on Utusan Malaysia.



