AS-Israel batal serang Iran kerana ‘nasihat’ Putera Mahkota Arab Saudi

WorldPolitics
3 Aug 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AS-Israel batal serang Iran kerana ‘nasihat’ Putera Mahkota Arab Saudi

WASHINGTON: Keputusan Pre­siden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Sabtu  untuk menangguhkan serangan baharu ke atas Iran dipercayai dibuat atas desakan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bagi mengelakkan konflik lebih besar di Asia Barat.

Putera Mohammed dilaporkan menghubungi Trump pada Sabtu bagi meminta penjelasan dan menyuarakan kebimbangan terhadap rancangan serangan itu.

Satu sumber mengetahui perbualan tersebut memberitahu Axios, Putera Mohammed turut menggesa Presiden AS itu untuk segera meredakan keadaan dan tidak melancarkan serangan tersebut.

Rumah Putih pada Jumaat memberi bayangan bahawa Trump sedang mempertimbang­kan untuk melancarkan sera­ngan baharu ke atas Iran ketika AS terus mendesak Teheran supaya membuka semula Selat Hormuz.

Washington turut menggesa Iran mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam perjan­jian gencatan senjata yang di­meterai oleh kedua-dua pihak bulan lalu. Namun, perjanjian itu tidak bertahan lama sebelum akhirnya gagal selepas perang bermula pada 28 Februari lalu.

Trump turut mengeluarkan kenyataan tegas dalam satu mesyuarat Kabinet yang disiarkan di televisyen dari Camp David, apabila beliau berikrar akan menyerang Iran.

“Kami akan menyerang mereka dengan sangat hebat dan pada satu ketika nanti mereka (Iran)  akan berkata, kami  sudah tidak mampu menanggungnya lagi,’” katanya.

Dalam pada itu, beberapa ku­asa serantau lain, termasuk Qa­tar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Turkiye dan Pakistan, tu­rut menggesa AS dan Iran supaya mengurangkan ketegangan. 

Media Nournews pada Sabtu melaporkan, serangan AS ke atas infrastruktur tenaga Iran akan mencetuskan serangan balas Teheran terhadap medan minyak di Arab Saudi dan UAE, selain medan gas di Qatar serta Israel.

“Kesemuanya akan dibakar menjadi abu,” menurut laporan itu.

Kelmarin, Trump berkata, AS dan Israel bersetuju menangguhkan serangan baharu ke atas Iran, dengan syarat satu perjanjian bagi menamatkan konflik yang berlarutan selama beberapa bulan dapat dimeterai dalam tempoh terdekat. 

“Iran dan negara-negara lain di Asia Barat meminta tempoh untuk memuktamadkan perjanjian yang akan membawa kepada pembukaan semula Selat Hormuz serta-merta, sepenuhnya dan secara menyeluruh, selain menamatkan ancaman nuklear Iran.

“Berdasarkan permintaan itu, saya bersetuju demi manfaat masa depan dunia dan juga kelangsungan Iran yang berjaya serta makmur untuk memba­talkan serangan itu, tertakluk kepada kemampuan memeterai perjanjian dengan segera,” kata Trump menerusi platform Truth Social miliknya.

Beliau turut mendakwa Iran dan negara-negara lain di Asia Barat meminta AS menangguhkan serangan kerana parameter asas bagi satu perjanjian sudah dipersetujui.

Kebimbangan pertempuran akan kembali memuncak selepas Trump memberi bayangan  akan menyerang Iran dengan dahsyat  dan dilaporkan sedang mempertimbangkan serangan besar-besaran baharu, terma­suk menyasarkan infrastruktur tenaga negara itu.

Trump turut mendakwa Israel akan menyertai serangan itu.

Teheran menandatangani m­e­­morandum persefahaman (MoU) mengenai gencatan senjata dengan Washington bulan lalu. Bagaimanapun, Teheran  didakwa melanggarnya dengan menembak kapal perdagangan dan membunuh askar AS hingga mencetus tindak balas Washing­ton selama 13 hari berturut-turut. 

Tempoh bertenang hanya bertahan selama tiga hari sebelum konflik disambung semula pada Khamis lalu selepas AS memaklumkan Iran melakukan serangan mengejut ke atas pangkalan tenteranya di negara Teluk. Ia  turut menyaksikan bedilan ke atas kumpulan proksi di Iraq yang meragut 20 nyawa dan kematian orang awam di Pulau Qeshm, Iran. 

 

The post AS-Israel batal serang Iran kerana ‘nasihat’ Putera Mahkota Arab Saudi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved