AS Lulus Jualan Kit Panduan Bom USD510 Juta Kepada Israel

WorldPolitics
2 Jul 2025 • 11:27 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

AS Lulus Jualan Kit Panduan Bom USD510 Juta Kepada Israel

Washington – Amerika Syarikat (AS) mengumumkan kelulusan penjualan kit panduan bom dan sokongan berkaitan bernilai USD510 juta (RM2.1 bilion) kepada Israel pada Isnin, lapor AFP.

Pengumuman tersebut dibuat selepas Israel menggunakan sejumlah besar peluru dalam konflik terbaharu dengan Iran.

Menurut kenyataan Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan Amerika Syarikat (DSCA), penjualan tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan Israel dalam menghadapi ancaman semasa dan masa depan.

Ia bertujuan memperkukuh kemampuan negara tersebut mempertahankan sempadan, infrastruktur penting serta kawasan penempatan penduduk.

“Penjualan yang dicadangkan ini akan meningkatkan keupayaan Israel untuk menangani ancaman semasa dan akan datang dengan memperkukuh keupayaan mempertahankan sempadan, infrastruktur penting, dan pusat penempatan penduduk,” kata DSCA.

DSCA turut menegaskan komitmen berterusan AS terhadap keselamatan Israel yang disifatkan mustahak kepada kepentingan nasional Amerika Syarikat.

“Amerika Syarikat komited terhadap keselamatan Israel dan ia penting kepada kepentingan nasional kami dalam membantu Israel membangunkan dan mengekalkan keupayaan pertahanan kendiri yang kuat dan bersedia,” tambah kenyataan itu.

Susulan itu, Jabatan Negara AS telah meluluskan penjualan berkenaan manakala DSCA telah mengemukakan notifikasi kepada Kongres AS yang masih perlu memberikan kelulusan muktamad.

Terdahulu, Israel melancarkan kempen udara yang belum pernah berlaku sebelum ini pada 13 Jun dengan menyasarkan tapak nuklear Iran, saintis serta pegawai tinggi tentera negara itu. Langkah tersebut bertujuan menamatkan program nuklear Iran yang menurut Tehran hanya untuk tujuan awam.

Namun Washington dan kuasa-kuasa lain tetap berpendirian program itu bertujuan mendapatkan senjata atom.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengambil pendekatan diplomasi bagi menggantikan perjanjian nuklear dengan Tehran yang dibatalkan pada 2018 semasa penggal pertamanya.

Bagaimanapun, beliau akhirnya memilih tindakan ketenteraan dengan mengarahkan serangan Amerika Syarikat ke atas tapak nuklear Iran.

Peperangan tersebut dihentikan minggu lalu melalui gencatan senjata, namun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berikrar untuk terus menghalang Tehran daripada membina semula kemudahan nuklearnya. Tindakan itu sekali gus meningkatkan kebarangkalian konflik berulang pada masa hadapan.

Sumber: AFP