AS nafi terlibat pembatalan penghantaran sistem peluru berpandu NSM Norway kepada Malaysia

LocalPolitics
21 May 2026 • 4:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AS nafi terlibat pembatalan penghantaran sistem peluru berpandu NSM Norway kepada Malaysia Image from: AS nafi terlibat pembatalan penghantaran sistem peluru berpandu NSM Norway kepada Malaysia hamden21/05/2026 - 16:02 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Mei - Amerika Syarikat (AS) menafikan sebarang penglibatan dalam keputusan kerajaan Norway dan Kongsberg Defence & Aerospace untuk membatalkan penghantaran sistem perluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia.

 

Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat, David H. Gamble Jr berkata, Washington tidak terlibat dalam keputusan pembatalan penghantaran sistem NSM tersebut.

 

Malah katanya,  Amerika Syarikat menyokong usaha Malaysia memperoleh keupayaan peluru berpandu tentera laut bagi menangani ancaman serantau serta mempertahankan kedaulatan negara.

 

“Sebagai contoh, Amerika Syarikat telah memudahkan integrasi komponen panduan yang diperlukan untuk NSM kepada Kongsberg pada tahun 2024 bagi memastikan sistem itu dapat dihantar kepada Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Media sebelum ini melaporkan kononnya AS dikatakan mempengaruhi keputusan Norway meneruskan penjualan NSM kepada Malaysia untuk kegunaan TLDM.

 

Gamble Jr berkata, Amerika Syarikat kekal komited terhadap hubungan pertahanan dan keselamatan yang kukuh dengan Malaysia.

 

Menurutnya, kerjasama itu termasuk di bawah Memorandum Persefahaman Kerjasama Pertahanan selain melibatkan 14 latihan dua hala dan pelbagai hala secara berkala, program latihan profesional ketenteraan serta bantuan keselamatan maritim.

 

Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) menandatangani kontrak pembelian NSM daripada syarikat pengeluar pertahanan Kongsberg Defence & Aerospace (KDA) pada 2018, bertujuan untuk dipasang pada enam LCS TLDM, selain naik taraf sistem misil dua kapal lain iaitu KD Jebat dan KD Lekiu.

 

Baru-baru ini kerajaan Norway membatalkan lesen eksport tersebut secara unilateral tanpa sebarang rundingan dengan Malaysia walaupun negara telah memenuhi semua obligasi kontrak.

 

Ini menyebabkan Malaysia mengemukakan tuntutan ganti rugi hampir RM1 bilion daripada syarikat pengeluar pertahanan dari Norway itu susulan pembatalan lesen eksport NSM berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard