Tindakan Norway beri tamparan kepada Malaysia?

LocalPolitics
15 May 2026 • 8:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tindakan Norway beri tamparan kepada Malaysia?
Laporan Sinar Harian mengenai tindakan kerajaan Norway yang membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal (NSM).

KEPUTUSAN Norway membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia bukan sekadar isu kontrak pertahanan biasa.

Tindakan unilateral itu kini mencetuskan ketegangan diplomatik, menimbulkan persoalan tentang kebolehpercayaan pembekal pertahanan Eropah, selain memberi kesan langsung kepada kesiapsiagaan pertahanan maritim negara.

Alasan yang diberikan ialah perubahan landskap keselamatan global serta langkah Oslo memperketat kawalan eksport teknologi strategik demi melindungi keselamatan negaranya.

Namun bagi Malaysia, alasan tersebut sukar diterima memandangkan kontrak pembelian itu telah dimeterai sejak 2018 dan hampir 95 peratus bayaran telah diselesaikan sebelum penghantaran dijadualkan dibuat pada Mac lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara terbuka menyifatkan keputusan Norway sebagai ‘unilateral dan tidak boleh diterima’.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh menghakis keyakinan negara-negara Asia terhadap pembekal senjata dari Eropah.

Kenyataan Anwar bahawa ‘kontrak yang ditandatangani bukan konfeti untuk dicampakkan sesuka hati’ memperlihatkan tahap kekecewaan Putrajaya terhadap tindakan Oslo.

Dalam diplomasi antarabangsa, kontrak pertahanan lazimnya dianggap komitmen strategik jangka panjang yang melangkaui perubahan politik semasa.

Apabila sesebuah negara pembekal menarik diri pada saat akhir, ia bukan sahaja mencetuskan kerugian kewangan, malah boleh menggugat hubungan strategik dua hala.

Dari sudut keselamatan nasional, implikasinya lebih besar. Sistem NSM sepatutnya melengkapkan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), projek yang sendiri sudah lama dibelenggu kelewatan dan kontroversi.

Ketiadaan sistem peluru berpandu utama itu bermakna kapal yang bakal diserahkan mungkin tidak dapat beroperasi pada kapasiti tempur penuh dalam tempoh terdekat.

Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang meneliti tindakan undang-undang serta tuntutan pampasan terhadap Norway susulan pembatalan tersebut.

Persoalan lebih besar kini ialah sama ada tindakan Norway itu didorong semata-mata faktor keselamatan nasional atau wujud pertimbangan geopolitik lebih luas.

Dalam konteks global semasa, banyak negara Barat semakin berhati-hati terhadap eksport teknologi pertahanan sensitif, khususnya selepas ketegangan geopolitik di Eropah dan Indo-Pasifik semakin memuncak.

Norway juga dilaporkan mahu mengehadkan eksport teknologi pertahanan sensitif hanya kepada sekutu rapat dan rakan strategik tertentu.

Ini secara tidak langsung menimbulkan persoalan tentang kedudukan Malaysia dalam kerangka strategik Oslo.

Bagi Malaysia, episod ini menjadi pengajaran penting tentang keperluan mempelbagaikan sumber perolehan pertahanan dan mengurangkan kebergantungan kepada satu blok kuasa tertentu.

Dalam dunia yang semakin dipengaruhi percaturan geopolitik, kontrak pertahanan tidak lagi sekadar urusan komersial, tetapi turut dipengaruhi pertimbangan politik dan keselamatan antarabangsa.

Apa yang pasti, pembatalan lesen eksport NSM oleh Norway telah membuka dimensi baharu dalam hubungan pertahanan Malaysia-Eropah.

Ia bukan sahaja memberi kesan kepada projek LCS TLDM, malah boleh menjadi titik perubahan dalam strategi perolehan pertahanan negara pada masa hadapan.