AS sasar rangkaian bekalan senjata Iran

WorldPolitics
11 Nov 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AS sasar rangkaian bekalan senjata Iran

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melancarkan usaha baharu untuk melumpuhkan rangkaian bekalan ketenteraan Iran menerusi penubuhan Pasukan Petugas Iron Gate yang menyasarkan laluan darat dan Laut Caspian.

Langkah itu bertujuan menghalang Teheran memperoleh sistem persenjataan canggih, teknologi dwiguna serta bahan lain, namun keberkesanannya bergantung kepada kerjasama negara serantau.

Penganalisis berpendapat unit kecil yang memberi tumpuan kepada risikan itu tidak mampu mengawal keseluruhan sempadan Iran atau menyekat rangkaian perolehan negara berkenaan tanpa sokongan negara jiran.

Profesor Pengajian Pertahanan di King’s College London, Andreas Krieg berkata, pasukan petugas itu merupakan usaha AS meluaskan sekatan tentera laut kepada rangkaian bekalan darat Iran tanpa perlu mengerahkan tenteranya di sepanjang sempadan negara itu.

Menurut bekas Timbalan Penolong Setiausaha Pertahanan AS bagi Asia Barat, Michael Mulroy, pasukan berkenaan bertujuan mengenal pasti laluan kemasukan senjata ke Iran, kaedah menyekat bekalan serta rangkaian pengangkutan sumber tenaga negara itu.

Berpangkalan di Tampa, Florida, unit itu akan menyelaraskan tindakan dengan agensi kerajaan AS lain bagi menghalang pemindahan sistem persenjataan canggih, teknologi dwiguna, bahan yang dikenakan sekatan serta aliran pendapatan haram merentasi sempadan darat Iran dan Laut Caspian, menurut Komander Pusat AS (CENTCOM).

Pengarah Sains Ketenteraan di Institut Perkhidmatan Diraja Bersatu (RUSI), Matthew Savill berkata, operasi itu akan bergantung kepada gabungan imejan satelit, dron, komunikasi yang dipintas, risikan kewangan serta perkongsian maklumat risikan.

Beliau berkata, AS juga mungkin menggunakan serangan atau operasi darat secara sulit bagi merampas komponen persenjataan, selain mengenakan tekanan undang-undang dan ekonomi terhadap pembekal dari negara Barat.

Bagaimanapun, usaha menyekat bekalan dari Russia dan China dijangka lebih sukar.

Media AS sebelum ini melaporkan Russia menghantar komponen dron dan bahan letupan ke Iran menerusi Laut Caspian, selain mendakwa teknologi Moscow membantu Teheran membangunkan peluru berpandu kruis supersonik canggih.

Krieg berkata, pasukan petugas itu tidak mampu mengawal sempadan sepanjang ribuan kilometer dengan hanya 20 anggota, sebaliknya bertujuan meningkatkan kos, melambatkan proses dan menambah risiko pemerolehan peralatan ketenteraan Iran.

Beliau turut memberi amaran kekangan utama operasi itu ialah faktor politik kerana negara jiran Iran mungkin keberatan memberikan kerjasama.

Menurutnya, Iraq mempunyai ruang untuk membantu Washington, namun rangkaian yang mempunyai hubungan dengan Iran masih bertapak kukuh dalam ekonomi dan institusi keselamatan negara itu.

Azerbaijan pula mungkin memberikan kerjasama secara sulit, manakala Turkmenistan dijangka keberatan mengambil risiko menjejaskan dasar berkecualinya serta hubungan dengan Russia dan China.

The post AS sasar rangkaian bekalan senjata Iran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved