
WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) menyerang dua kapal tangki milik kerajaan Iran sebagai sebahagian daripada gelombang serangan lebih meluas yang menyasarkan Teheran, menurut pegawai AS yang dipetik laman berita Axios.
Axios melaporkan ia merupakan kali pertama AS menyasarkan kapal tangki Iran sebagai tindakan balas terhadap serangan ke atas kapal di Selat Hormuz dan bukannya bagi menghalang pelanggaran sekatan laut yang dikenakan Washington.
Seorang pegawai AS berkata, operasi itu adalah sebahagian daripada dasar baharu ‘kapal tangki dibalas kapal tangki’ yang diluluskan Presiden, Donald Trump bagi menghalang serangan Iran terhadap kapal tangki yang melalui laluan perairan strategik berkenaan.
Dua kapal tangki Iran itu berlabuh di luar pantai Iran, di utara garisan sekatan laut AS. Dron AS melancarkan peluru berpandu yang mengenai bilik enjin kedua-dua kapal berkenaan, menurut pegawai.
Pegawai AS berkata, kira-kira 100 sasaran diserang semalam, termasuk tapak pertahanan udara Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), sistem radar, keupayaan meletakkan periuk api, kemudahan komunikasi, pelancar peluru berpandu jelajah antikapal serta pelancar dron serangan.
Iran bertindak balas dengan melancarkan kira-kira 25 peluru berpandu balistik, namun pegawai AS berkata, hanya separuh daripadanya memasuki ruang udara Jordan. Sebanyak 10 peluru berpandu dipintas, manakala tiga lagi jatuh tanpa menyebabkan kemalangan jiwa.
Iran turut melancarkan lebih 24 dron ke pangkalan AS di Bahrain, yang sebahagian besarnya berjaya dipintas. Peluru berpandu balistik dan dron turut dilancarkan ke pangkalan AS di Kuwait, manakala dua dron yang menyasarkan pangkalan AS di Erbil, Iraq berjaya dipintas.
Rumah Putih dan Markas Pusat AS (CENTCOM) berkata, serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap cubaan serangan terbaharu IRGC terhadap kapal komersial di Selat Hormuz serta serangan ke atas pangkalan AS di rantau berkenaan.
Axios melaporkan serangan itu turut menjadi sebahagian daripada pelan lebih menyeluruh yang sedang dipertimbangkan Trump dan pegawai kanannya bagi menghalang Iran daripada membangunkan semula keupayaan radar dan peluru berpandu yang diperlukan untuk mengancam perkapalan di selat berkenaan.
Pegawai AS mendakwa Iran mungkin tidak dapat mengancam kapal komersial dengan berkesan untuk sekurang-kurangnya sebulan selepas keupayaannya dilemahkan oleh serangan tersebut.
Walaupun berlaku pertukaran serangan, tentera AS didakwa terus membantu mengiringi kapal melalui laluan perairan berkenaan. Kira-kira 40 kapal yang membawa berjuta-juta tong minyak melalui Selat Hormuz pada Selasa, menurut seorang pegawai AS.
Semalam media Iran melaporkan serangan AS mengenai sebuah majlis perkahwinan di Kuhestak, mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan sekitar 50 yang lain.
IRGC berkata, empat anggota pasukan aeroangkasa mereka turut terbunuh dalam serangan AS di wilayah Kermanshah di barat Iran, manakala tiga anggota pasukan separa tentera maut dalam serangan di Pulau Lavan di Teluk.
Kumpulan itu mendakwa sejumlah anggota musuh terbunuh dan beberapa dron musnah dalam serangan peluru berpandu serta dron ke atas Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait, yang diketahui menempatkan sebahagian anggota tentera AS.-AGENSI
The post AS serang dua kapal tangki milik kerajaan Iran appeared first on Utusan Malaysia.

