AS tarik balik larangan TikTok pada peranti kerajaan

WorldTechnology
12 Aug 2026 • 11:01 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AS tarik balik larangan TikTok pada peranti kerajaan

WASHINGTON: Pentadbiran Donald Trump menarik balik sekatan terhadap penggunaan aplikasi TikTok pada peranti kerajaan persekutuan, selepas mendapati aplikasi media sosial popular itu tidak lagi mengancam keselamatan negara berikutan peralihan operasinya kepada pelabur Amerika Syarikat (AS).

Menerusi satu memo bertarikh 11 Ogos, Pejabat Pengurusan dan Belanjawan Rumah Putih membatalkan arahan tahun 2023 yang melarang penggunaan perkhidmatan perkongsian video itu pada peralatan kerajaan yang sebelum ini dilaksanakan atas kebimbangan terhadap pemilikan syarikat China ke atas TikTok.

Memo berkenaan susulan pandangan bertulis daripada Jabatan Kehakiman pada Julai yang menyimpulkan TikTok tidak lagi dikategorikan sebagai aplikasi terlarang di bawah undang-undang 2022 yang menyekat penggunaannya pada platform persekutuan.

Keputusan itu dibuat berikutan penyelesaian perjanjian pada Januari lalu bagi memindahkan kawalan perniagaan aplikasi itu di AS daripada syarikat induknya dari China, ByteDance, kepada konsortium firma AS yang diketuai Oracle dan syarikat ekuiti swasta, Silver Lake Management.

Perjanjian yang diusahakan Trump itu dirancang bagi menyelamatkan TikTok daripada diharamkan di AS di bawah undang-undang 2024 yang dicetuskan oleh kebimbangan aplikasi tersebut dan ByteDance boleh berkongsi maklumat pengguna AS dengan pihak berkuasa China.

Pandangan Jabatan Kehakiman menyatakan versi terbaharu TikTok beroperasi secara bebas daripada ByteDance dan kini dimiliki secara majoriti oleh pelabur AS.

Di bawah pemilikan baharu itu, aplikasi berkenaan mengemas kini algoritma pengesyoran kandungan dan program keselamatan siber yang asalnya dibangunkan oleh ByteDance bagi melindungi maklumat kerajaan persekutuan daripada ciri-ciri keselamatan membimbangkan yang menjadi punca utama sekatan tersebut.

Penjualan TikTok susulan pertikaian berpanjangan berhubung isu keselamatan negara AS yang berpunca daripada hubungan aplikasi itu dengan China.

TikTok dan kerajaan Beijing sebelum ini menolak dakwaan pembuat dasar AS data pengguna dieksploitasi dan aplikasi tersebut boleh digunakan China untuk menyebarkan naratif tertentu atau menyebarkan maklumat palsu.- AGENSI

The post AS tarik balik larangan TikTok pada peranti kerajaan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved